Tuesday, March 19, 2013

Tahanan mogok lapar Palestin dibebas



Ayman Sharawna (terbaring) mengangkat kedua-dua tangannya tanda bersyukur sebaik-baik tiba di Hospital al-Shifa di Gaza City, kelmarin. Pihak berkuasa Israel membebaskan Ayman dengan syarat beliau dibuang negeri dari Tebing Barat ke Genting Gaza selama 10 tahun. - AFP
GAZA CITY 18 Mac - Seorang tahanan Palestin di penjara Israel yang telah lama melancarkan mogok lapar, tiba di Genting Gaza lewat petang semalam selepas menerima tawaran pembebasan daripada Israel.
Ayman Sharawna menerima tawaran daripada pegawai Israel untuk dibebaskan, tetapi dengan syarat beliau akan dibuang negeri dari Tebing Barat ke Genting Gaza selama 10 tahun.
Ayman yang melintas sempadan di Erez disambut dengan ambulans Palestin yang membawanya ke hospital untuk diperiksa, menurut pegawai sempadan Palestin.
Ayman adalah seorang daripada empat tahanan Palestin yang melancarkan mogok lapar selama beberapa bulan bagi membantah keadaan di penjara Israel, insiden yang mencetuskan kebimbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah (EU).
Sementara itu, Tribunal Russell bagi Palestin (RToP), yang menyelesaikan siasatan mereka selama empat tahun berhubung 'jenayah' Israel di wilayah Palestin, menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menyiasat kekejaman rejim Zionis itu.
Tribunal rakyat yang tidak mempunyai status undang-undang itu, yang berfungsi bagi meningkatkan kesedaran dunia kepada penjajahan Israel di Palestin bermesyuarat di Brussels, semalam dan menyatakan akan 'menyokong' semua inisiatif daripada masyarakat sivil dan pertubuhan antarabangsa yang mahu mengheret Israel ke ICC.
Sejak Palestin dianugerahkan status pemerhati di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada November lalu, mereka kini boleh mengemukakan aduan terhadap Israel di ICC.
Tribunal itu turut menggesa ICC mengiktiraf bidang kuasa Palestin dan satu sesi luar biasa, Jawatankuasa Khas PBB menentang Aparteid yang ditubuhkan untuk Afrika Selatan, tetapi kini ditubuhkan untuk kes membabitkan Israel. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130319/lu_07/Tahanan-mogok-lapar-Palestin-dibebas#ixzz2Nxcr6ni4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment