Kuala Lumpur: Kes saman fitnah dikemukakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bekas Ketua Pesuruhjaya, Datuk Ahmad Said Hamdan (gambar) dan Kerajaan Malaysia akan diselesaikan di luar mahkamah.
Capai persetujuan
Kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes saman itu secara baik selepas peguam masing-masing mengadakan perbincangan dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Lau Bee Lan, di sini, semalam.
Peguam Kanan Persekutuan Noorin Badaruddin yang mewakili SPRM, Ahmad Said dan Kerajaan Malaysia selaku defendan ketika ditemui berkata, Ahmad Said akan mengemukakan permohonan maaf di mahkamah hari ini.
Abdul Khalid memfailkan saman itu pada 27 April 2009 dengan mendakwa kenyataan akhbar oleh Ahmad Said pada 21 Februari tahun sama mengenai hasil siasatan SPRM berhubung salah guna kuasa membabitkan penyenggaraan kereta peribadinya dan pembelian 46 ekor lembu Hari Raya Aidiladha bagi Parlimen Bandar Tun Razak, adalah fitnah.
Kenyataan fitnah
Dalam pernyataan tuntutannya, Abdul Khalid berkata, kenyataan fitnah itu membawa maksud beliau seorang pembohong, tidak berprinsip, rasuah, tidak beretika dan seorang ahli politik yang melakukan kesalahan jenayah.
Sementara itu, Ahmad Said dalam kenyataan pembelaannya yang difailkan pada 31 Julai 2009, menafikan membuat kenyataan fitnah itu terhadap Abdul Khalid, sebaliknya berkata perbuatan itu dilakukan dengan niat baik dalam tugasnya selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu.
INFO: Saman fitnah
Abdul Khalid mendakwa kenyataan akhbar oleh Ahmad Said pada 21 Februari 2009 adalah fitnah.
No comments:
Post a Comment