Wednesday, March 20, 2013

Desak perketat dana bantuan tentera Mesir



Washington: Lima senator Amerika Syarikat mahu supaya Washington memperketat kawalan terhadap cara Kerajaan Mesir menggunakan lebih AS$1.3 bilion (RM3.9 bilion) dalam bentuk bantuan tentera dan lain-lain yang diberinya setiap tahun kepada Kaherah.

Empat senator Republikan dan seorang dari Parti Demokrat mengemukakan cadangan pindaan berasingan mengenainya dalam usul perbelanjaan domestik bagi mengelak operasi kerajaan lumpuh pada 27 Mac depan.
Cadangan itu adalah antara 125 usul pindaan yang dimasukkan dalam deraf perbelanjaan domestik dan tidak diketahui berapa banyak daripadanya akan diterima pada penghujungnya.

Senat dijangka mengundi usul muktamad hari ini dan esok. Washington menyampaikan bantuan tentera bernilai AS$1.3 bilion setahun kepada Mesir.

Cadang beri AS$250 juta

Awal bulan ini, Amerika menyatakan, ia akan memberi Mesir bantuan bajet AS$250 juta (RM750 juta) selepas Presiden Mohamed Mursi berjanji melaksanakan pembaharuan ekonomi sejajar syarat pinjaman Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF).

Senator itu termasuk Marco Rubio, John McCain, James Inhofe dan Rand Paul dari Republikan serta rakan Parti Demokrat, Patrick Leahy, pengerusi Jawatankuasa Rendah Operasi Luar dan Negara, Jawatankuasa Peruntukan Senat.
Mereka tidak mendesak bantuan itu dihentikan tetapi Leahy dan McCain mahu memastikan ia digunakan untuk menangani keganasan, operasi khas dan keselamatan sempadan tetapi tidak membabitkan jet pejuang F-16 atau kereta kebal M1.

Pembaharuan ekonomi

Rubio pula mahu menyekat pemberian dana dan kontrak baru sehingga Kaherah melaksanakan pembaharuan ekonomi dan diperakui oleh pentadbiran Obama sebagai melindungi hak asasi manusia.

Usul pindaan Paul pula yang ditaja bersama Inhofe, mahu semua bantuan kepada Mesir dihentikan sehingga Mursi mengulas dalam bahasa Inggeris dan Arab bahawa beliau menyokong sepenuhnya perjanjian damai Camp David.
REUTERS

No comments:

Post a Comment