Wednesday, March 20, 2013

Kedudukan Yingluck tergugat kerana 2 isu



Bangkok: Hanya 18 bulan menjadi perdana menteri wanita pertama di Thailand, Yingluck Shinawatra kini berdepan beberapa masalah perundangan serius yang mungkin menyebabkan dia kehilangan kerusi sebagai ahli parlimen.

Dua isu utama yang menggugat kedudukan Yingluck ketika ini ialah kecelaruan data dalam pengisytiharan hartanya serta cadangan kerajaan mengeluarkan pasport baru kepada abangnya, Thaksin, yang disabitkan bersalah atas tuduhan penyelewengan oleh mahkamah. Dalam keadaan begitu, pemerhati berpendapat, seorang lagi adik Thaksin, Yaowapa Wongsawat bakal menceburi politik tidak lama lagi. Berdasarkan kenyataan kewangan diserahkan oleh Yingluck kepada Suruhanjaya Antirasuah Kebangsaan (NACC) selepas menjadi perdana menteri, suaminya, Anusorn Amornchat, memiliki 4.01 juta saham Ad Index Co Ltd dan setiap satunya bernilai Baht10 (RM1).


Yingluck juga menyatakan, dia meminjamkan Baht30 juta (RM3 juta) kepada firma itu, tetapi rekod syarikat berkenaan tidak menunjukkan ia berlaku sehingga 2007. Anusorn juga memegang 10,000 saham firma itu pada 16 Julai 2003 dan secara beransur-ansur pegangan itu meningkat lebih banyak sehingga 4.01 juta pada 20 April 2011. Yingluck dinamakan sebagai calon perdana menteri oleh Parti Pheu Thai pada 16 Mei 2011. Mengenai isu pasport Thaksin, jurucakap badan pemantau kerajaan, Raksakecha Chaechai berkata, Yingluck masih menangguhkan penjelasan mengenainya sejak 30 hari lalu.

Dalam pada itu, Thaksin semalam dilapor menelefon ketika mesyuarat anggota Parlimen Parti Phue Thai untuk menawarkan nasihat dan pandangannya mengenai isu berkait dengan keamanan di wilayah selatan dan pindaan perlembagaan.


Beliau juga menolak spekulasi bahawa adiknya Yaowapa yang akan bertanding pada pilihan raya di Chiang Mai bulan depan akan menjadi ‘perdana menteri pengganti’ sekiranya Yingluck dipecat. - Agensi

No comments:

Post a Comment