Wednesday, March 6, 2013

Morsi pertimbang beri kuasa kepada tentera



KAHERAH - Presiden Mesir, Mohammed Morsi sedang mempertimbangkan sama ada untuk memberi kuasa penuh kepada tentera bagi mengawal bandar Port Said selepas beberapa pertempuran berlaku antara penunjuk perasaan dengan pihak berkuasa, kata beberapa pegawai semalam.
Penyerahan bandar itu kepada kuasa tentera akan memperlihatkan kegagalan pentadbiran Morsi untuk membawa keamanan di Port Said yang bergolak sejak akhir Januari lalu.
Bantahan dan mogok kini bertukar menjadi satu pemberontakan apabila para penduduk marah terhadap Morsi dan pasukan keselamatannya.
Pertempuran yang memasuki hari ketiga meletus semalam apabila polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan tembakan ke arah penunjuk perasaan yang membaling batu dan bom api ke arah ibu pejabat Agensi Keselamatan Negara sehingga menyebabkan bangunan itu terbakar.
Kejadian rusuhan di bandar Port Said berlaku sejak Ahad lalu telah menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang awam dan tiga anggota polis terbunuh dan beratus-ratus yang lain cedera.
Kekacauan itu berlaku disebabkan sebuah mahkamah menjatuhkan hukuman mati terhadap 21 orang yang kebanyakannya penduduk Port Said kerana terlibat dalam rusuhan bola sepak di bandar ini pada Februari tahun lalu. Dalam rusuhan itu seramai 74 orang maut. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0306&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_10.htm#ixzz2Mlgaagoc 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment