Tuesday, April 9, 2013

KENYATAAN MEDIA - 9 APRIL 2013


KEADILAN menggesa pembukaan semula kes pembunuhan Altantuya dan perakuan bersumpah kedua P Balasubramaniam

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) memandang serius pendedahan demi pendedahan berkaitan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan perakuan bersumpah kedua (SD2) P Balasubramaniam yang telah muncul beberapa bulan yang lalu.

Bekas Ketua Polis Negara- Tan Sri Musa Hassan, individu yang bertanggungjawab untuk penyiasatan kes pembunuhan ini – telah menyatakan semalam bahawa terdapat bukti-bukti yang mencukupi untuk membuka kembali siasatan terhadap perakuan bersumpah kedua P Balasubramaniam. Majlis Peguam Malaysia juga telah mengeluarkan satu kenyataan pada 30 Mac 2013, menyatakan bahawa terdapat bukti-bukti baru yang mencukupi bagi Peguam Negara membuka kembali siasatan kes pembunuhan Altantuya yang berlaku pada tahun 2006.

KEADILAN menyokong penuh gesaan untuk membuka kembali penyiasatan terhadap kes pembunuhan Altantuya dan SD2 P Balasubramaniam berdasarkan bukti-bukti baru ini. Pendedahan demi pendedahan oleh Deepak Jaikishan, mendiang Bala dan Americk Singh Sindhu mewujudkan asas-asas yang kukuh untuk penyiasatan lanjut oleh pihak berkuasa. Pendedahan-pendedahan ini berkemungkinan menjadi motif yang menyebabkan kematian Altantuya yang masih belum dirungkai dengan lebih mendalam.

Pertama, Deepak telah mendedahkan pada 12 Disember 2012 bahawa terdapat beberapa individu yang telah mengugut Bala untuk menarik kembali perakuan bersumpah pertama (SD1) yang ditandatangani pada 1 Julai 2008 dan kemudiannya menandatangani perakuan bersumpah kedua (SD2) pada 4 Julai 2008 yang telah disediakan tanpa arahan atau kehadiran beliau yang merupakan satu bentuk konspirasi untuk mencabul prinsip keadilan.

Kedua, peguam kepada Bala, Americk, telah pun mengesahkan pada 21 Disember 2012 yang Bala tidak terlibat secara peribadi menulis perakuan bersumpah kedua (SD2) dan mendedahkan dengan lebih lanjut bahawa kandungan perakuan bersumpah pertama (SD1) yang membabitkan Dato’ Seri Najib Tun Razak adalah benar.

Akhir sekali, Americk turut mengesahkan bahawa peguam kanan Cecil Abraham telah bertanggungjawab merangka perakuan bersumpah kedua (SD2) dan lebih mengejutkan lagi, SD2 tersebut dirangka atas arahan Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Jika dakwaan oleh Bala, Deepak dan Americk adalah benar, maka segala persediaan untuk merangka SD2 adalah satu perbuatan jenayah di bawah Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan perjuri, memberikan maklumat palsu mengenai suatu kesalahan dan menghalang keadilan daripada dilaksanakan.

Mereka yang terlibat dalam konspirasi untuk memaksa Bala menarik kembali SD1 telah menyalahgunakan kuasa secara terang-terangan dan tindakan penyalahgunaan kuasa ini boleh dihukum di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.

Ini adalah satu kes berprofil tinggi yang memiliki kepentingan pada peringkat nasional dan antarabangsa, yang membabitkan pembunuhan kejam Altantuya, dua pegawai polis yang telah dijatuhkan hukuman gantung, penggunaan wang rakyat berbilion ringgit yang digunakan bagi tujuan pembelian kapal selam dan komisyen bernilai jutaan ringgit yang dibayar kepada individu penting termasuklah kepada Perdana Menteri kerajaan sementara yang juga merupakan bekas Menteri Pertahanan, Dato Seri Najib Tun Razak.

Bersandarkan kepada pendedahan menggusarkan yang menggambarkan kebobrokan penyalagunaan kuasa pada tahap yang paling tinggi dan campur tangan daripada sistem keadilan Malaysia, KEADILAN menggesa pembukaan siasatan serta-merta terhadap kes pembunuhan Altantuya dan perakuan bersumpah kedua Bala oleh Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia.


TIAN CHUA
Naib Presiden KEADILAN

---

BIRO KOMUNIKASI
PARTI KEADILAN RAKYAT
A-1-09, Merchant Square
No. 1, Jalan Tropicana Selatan 1
47410 Petaling Jaya

No comments:

Post a Comment