Kaherah: Sekurang-kurangnya 82 orang cedera selepas aktivis pembangkang bertempur dengan ribuan penyokong kerajaan Presiden Mohammed Morsi yang berhimpun di luar Mahkamah Agung di tengah bandar ini, lewat kelmarin.
Pertempuran berlaku di Dataran Abdel Monem dan Jambatan 6 Oktober yang merentasi Sungai Nil.
Penyokong kerajaan melontar batu ke arah militan pembangkang di bawah jambatan itu, termasuk anggota kumpulan yang menggelar diri mereka Blok Hitam.
Menurut wartawan, sebahagian ahli kumpulan itu bertindak melastik mereka yang di atas jambatan.
Aktivis pembangkang turut membakar bas yang membawa penyokong kerajaan ke perhimpunan itu.
Polis bertindak menyuraikan kumpulan yang bertentangan itu dengan melepaskan gas pemedih mata, kira-kira sejam selepas pergaduhan tercetus.
Mesir dilanda pelbagai keganasan sejak Morsi menjadi presiden, termasuk pertempuran antara polis dengan penunjuk perasaan yang mengorbankan jiwa dan pemberontakan di beberapa bandar di Terusan Suez. - AFP
No comments:
Post a Comment