Ceramah dihalang walaupun permit sudah lulus
Mazlan menunjukkan laporan polis yang dibuat selepas kejadian.
KULAIJAYA – Pakatan Rakyat (PR) kesal dengan tindakan sekumpulan penyokong yang didakwa mewakili parti lawan di Kampung Murni Jaya, di sini yang menghalang mereka menyampaikan ceramah, Isnin lalu.

Calon Pas Dun Bukit Permai, Mazlan Aliman berkata, lebih mengecewakan, PR sudah mendapatkan permit daripada pihak berkuasa beberapa hari sebelum berlangsungnya ceramah terbabit untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

“Mereka membuat bising di tempat kami berceramah dan hadir lebih awal daripada program kami bermula. Alasan yang mereka berikan kerana tempat kami mahu mengadakan ceramah berdekatan dengan bilik gerakan BN sedangkan adalah sebaliknya.

“Kemudian, pihak berkuasa mengarahkan kami menghentikan ceramah. Meskipun akur dengan arahan terbabit, tetapi kami kesal dengan tindakan provokasi yang dilakukan mereka sedangkan kami telah diberi kebenaran.

“Kami rasa tidak puas hati dan tidak sepatutnya pihak berkuasa mengarahkan kami memberhentikan program. Kami tidak mengganggu sesiapa. Keesokannya kami telah membuat laporan polis,” katanya kepada  media, di sini, semalam.

Mazlan berkata, tidak terhenti dengan itu, siri ceramah seterusnya di Kampung Pertanian, di sini, semalam (kelmarin) tidak diberikan permit oleh pihak berkuasa sedangkan permohonan sudah dibuat.

“Kalau ikutkan kelulusan permit tersebut dapat dikeluarkan dalam masa 24 jam sahaja. Kami difahamkan mereka memberitahu kawasan itu dikategorikan sebagai kawasan panas dan tidak boleh berceramah.

“Ini sudah masuk kali kedua siri ceramah kami dihalang. Tidak sepatutnya perkara ini berlaku. Saya juga khuatir untuk siri ceramah seterusnya di Felda Inas yang seolah-olah menggambarkan turut dihalang dan tidak diberi permit. Pihak berkuasa sepatutnya adil dan tidak seharusnya bertindak sedemikian,” katanya.