Friday, May 3, 2013

Penulis blog Milo Suam ditahan



KUALA LUMPUR 2 Mei - Polis menahan penulis blog propembangkang, Yusuf Al Siddique Suratman atau lebih dikenali sebagai Milo Suam berhubung penyiaran dua artikel beserta gambar di dalam blog miliknya iaitu milosuam.blogspot.com.
Dua artikel itu adalah berhubung penyiaran satu dokumen rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan Ops Daulat dan dakwaan anggota PDRM mengundi lebih awal dari tarikh sepatutnya, baru-baru ini.
Lelaki berusia 29 tahun itu ditahan di pekarangan sebuah pasar raya di Setia Alam, Klang, pada pukul 12.07 tengah malam tadi.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, lelaki itu direman dua hari mulai hari ini bagi membantu siasatan.
"Penyiaran artikel pertama bersabit perutusan polis berhubung pencerobohan pengganas di Lahad Datu pada 6 Mac lalu. Kes disiasat mengikut Seksyen 8(1) Akta Rahsia Rasmi 1972 kerana dokumen yang disebarkan diklasifikasikan sebagai rahsia.
"Sementara satu lagi yang bersabit laporan dari Balai Polis Jalan Tun Razak pula disiasat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.
"Seksyen itu berkaitan membuat kenyataan yang mendatangkan khianat awam seperti membuat, menerbit atau mengedar apa-apa kenyataan, khabar angin atau berita dengan niat hendak menyebabkan ketakutan kepada awam atau mana-mana golongan awam," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Bukit Perdana hari ini.
Tambah Syed Ismail, pihaknya turut merampas sebuah komputer riba, dua unit masing-masing jalur lebar dan telefon bimbit, cakera keras luaran dan kad mikro milik lelaki tersebut.
Dalam perkembangan lain, Syed Ismail menasihatkan orang ramai agar lebih beretika dan bermoral semasa menggunakan media sosial.
"Jangan sesekali menyebarkan berita palsu, fitnah, ugutan, propaganda atau sebarang dokumen rasmi yang kemungkinan boleh menggugat ketenteraman awam.
"Walaupun disebarkan melalui alam siber, fitnah tetap menjadi satu kesalahan di bawah undang-undang negara ini," jelasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130503/je_03/Penulis-blog-Milo-Suam-ditahan#ixzz2SBFXFviL
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment