Rumah penginapan Nasrudin dilempar darah
Rumah penginapan Nasrudin dilempar darah
Bungkusan berdarah yang turut mengandungi nota ugutan dilempar ke rumah penginapan calon Pas Parlimen Temerloh yang juga Ketua Pemuda Pas Malaysia, Nasrudin Hassan, pagi semalam
TEMERLOH - Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) menggesa kawalan keselamatan calon Pakatan Rakyat (PR) yang bertanding pada PRU13 ini dipertingkatkan selepas rumah penginapan calon Pas Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan dilempar bungkusan berisi darah dan nota ugutan.

Setiausahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, DPPM kesal dengan kejadian itu yang berlaku di Taman Seri Semantan Temerloh, antara jam 3 hingga 7 pagi semalam.

Menurutnya, kejadian disedari beberapa pembantu Nasrudin yang berada di dalam rumah tersebut pada jam 7 pagi.

“Malah, petugas-petugas parti turut memaklumkan beberapa kain rentang dan billboard sekitar Temerloh telah disabotaj dan diconteng dengan kata-kata kesat oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Kami tidak menolak kemungkinan kejadian ini berlaku atas peningkatan sokongan dan penerimaan pengundi yang tinggi terhadap Ustaz Nasrudin di Temerloh, di samping laporan situasi gerak kerja jentera BN yang lemah atas faktor penolakan sesama sendiri terhadap calon mereka,” katanya.

Khairul Faizi berkata, DPPM menggesa seluruh petugas pilihan raya dan unit keselamatan meningkatkan keselamatan calon-calon, di samping mengelak sebarang cubaan jahat dan provokasi dalam tempoh kritikal ini.

Katanya, DPPM juga menggesa pihak polis meningkatkan kawalan dan pemantauan semasa tempoh berkempen serta pada hari pengundian, dengan jaminan keselamatan kepada semua pihak.

“DPPM yakin budaya politik kotor ini tidak akan diterima pengundi Temerloh dan ditolak seluruh anak muda Malaysia yang mahukan perubahan ke arah negara yang lebih baik,” katanya.