Datuk Mukhriz Tun Mahathir
Datuk Mukhriz Tun Mahathir
JITRA - Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Kedah Datuk Mukhriz Tun Mahathir akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terus menabur fitnah dan cuba mencemar nama baik keluarganya.

Mukhriz yang juga calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Ayer Hitam berkata ini termasuk tuduhan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak  hari ini yang mengatakan beliau seorang kapitalis.

Katanya tindakan akan diambil terhadap Azizan yang berterusan memburukkan nama baiknya dan keluarganya sedangkan tuduhan Azizan itu tidak berasas kerana bersumberkan blog pro pembangkang.

"Ini soal reputasi. Dia (Azizan) buat tuduhan liar kerana mungkin baca dan percaya blog-blog karut ini. Tujuan mereka hanya untuk raih undi masa kempen pilihan raya  sahaja," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Azizan sebelum ini mendakwa Mukhriz bertanding kerusi Dun kerana ingin mewujudkan kerajaan 'Mahathir' di Kedah.

Malah sebelum ini ada khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mengatakan keluarga itu memiliki saham dan syarikat arak dan akan membina syarikat arak di Kedah jika  menang pada PRU kali ini. Semua itu dinafikan Mukhriz sebelum ini.

Mukhriz berkata kenyataannya ada pemimpin Pas yang berfahaman Syiah adalah berdasarkan dakwaan pemimpin pondok agama di negeri ini.

Katanya rata-rata mereka mendakwa pemimpin Pas itu membawa fahaman Syiah dan merasakannya terlalu serius kerana menyentuh soal akidah orang Islam.

Mukhriz berkata sehingga hari ini pemimpin Pas itu langsung tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan terhadapnya sama ada dia berfahaman Syiah  atau tidak.

"Yang jawab untuk dia, orang lain (Azizan). Rakyat berhak untuk mengetahui kebenaran mengenai dakwaan yang dibuat oleh ilmuan pondok," katanya.

Azizan hari ini ketika ditanya benarkah dakwaan bahawa seorang pemimpin Pas yang bertanding di Kedah pada pilihan raya umum kali ini berfahaman Syiah, seolah-olah  cuba mengelak menjawab isu itu dan meminta wartawan bertanya kepada pemimpin itu sendiri.

"Banyak kat Malaysia ni, ada amalan syiah, ada ajaran sosialis, Mukhriz tu ada kapitalis. Kalau mereka tanya Syiah itu apa salah Syiah apa salah dia, tunjuk la bukti dia.  Adakah dalam negara kita tak boleh jadi ahli politik, jikalau amalkan Syiah," kata Azizan.

Mengenai penerimaan rakyat terhadap BN, Mukhriz berkata rakyat kini kembali memberi sokongan padu kepada BN tetapi beliau bimbang segala tohmahan fitnah dibuat  pembangkang boleh memberi kesan kepada pengundi di saat akhir.

Katanya beliau turut bimbang sekiranya keputusan yang dibuat rakyat berdasarkan emosi menyebabkan peristiwa 2008 berulang dan selama lima tahun rakyat menerima  padah.

Beliau berharap rakyat di negeri ini bersikap rasional dalam membuat keputusan dan tidak mudah terpedaya dengan dakyah pakatan pembangkang.- Bernama