Friday, May 3, 2013

Enam lagi maut di selatan Thailand



 
Bangkok tolak keganasan akan gagalkan rundingan damai

Bangkok: Perunding Thailand percaya keganasan terbaru yang menyusuli kebuntuan rundingan damai di Kuala Lumpur tidak akan menggagalkan usaha memulihkan keamanan di selatan negara itu.

Enam penduduk Pattani termasuk seorang budak lelaki berusia tiga tahun terbunuh selepas ditembak penyerang dipercayai pemisah di sebuah kedai runcit, kelmarin.
Ia berlaku dua hari selepas perunding Thailand menolak tuntutan Barisan Revolusi Nasional (BRN) membenarkan wilayah selatan diperintah sepenuhnya oleh mereka.

Empat lelaki bersenjata menaiki motosikal menyerang kedai runcit itu terletak 500 meter dari sebuah pos kawalan tentera.
Lima mangsa adalah penduduk beragama Buddha dan seorang lagi beragama Islam.

Penyerang lepas tembakan

“Penyerang melepaskan tembakan ke arah kedai sebelum menembak ke arah mangsa. Mereka meninggalkan sekeping nota tertulis ‘balas dendam kepada orang tidak berdosa’ sebelum meninggalkan tempat kejadian,” kata seorang pegawai polis.
BRN menyiarkan tuntutannya dalam YouTube, Ahad lalu, termasuk ‘menguruskan pemerintahan sendiri secara adil’ sebagai antara matlamatnya.

“Kami tidak gagal. Kami dengar pandangan mereka tetapi tidak buat sebarang janji,” kata Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Kebangsaan Thailand, Paradorn Pattanathabutr, merujuk kepada rundingan di Malaysia, Isnin lalu.

Tuntutan awal agak tinggi

Saintis politik Deep South Watch, Srisomphob Kitphiromsri pula mengulas: “Tuntutan awal mereka agak tinggi dan mungkin boleh bermaksud pemerintahan sendiri, autonomi, berkongsi kuasa atau menerima pemerintahan pusat.

“Bagaimanapun, mungkin pada masa depan, BRN sedia mengubai suai pendirian mereka.”

Pegawai Thailand sentiasa menolak sebarang langkah ke arah memberi kemerdekaan atau autonomi wilayah. - REUTERS

No comments:

Post a Comment