Monday, May 20, 2013

Lelaki 9 anak cari ibu bapa

Lelaki 9 anak cari ibu bapaZailani menunjukkan sijil kelahirannya ketika ditemui di kediamannya di Taman Kota Jaya.
KOTA TINGGI - Seorang lelaki di sini yang dibesarkan keluarga angkat sejak kecil merayu bantuan orang ramai yang mengenali ibu bapa kandungnya tampil memberi maklumat supaya dia dapat bertemu dengan orang tuanya.

Pengawal keselamatan, Zailani Wahab, 49, bapa kepada sembilan anak yang tinggal di Jalan Berangan Taman Kota Jaya di sini berkata, sejak bayi lagi dia dijaga ibu dan bapa angkatnya di Kampung Sengkuang, Sri Gading, Batu Pahat.

Menurutnya, dia tidak tahu yang dirinya anak angkat, namun semua terbongkar selepas berlaku perselisihan faham dan arwah ibu angkatnya Aminah Gimon@Ahmad menunjukkan surat pengambilan anak angkat.

“Ketika itu usia saya 13 tahun, saya dan kakak sering bertengkar kerana perbezaan kulit kami. Kakak berkulit putih manakala saya berkulit gelap, " katanya.

Bagaimanapun arwah ibunya tidak menceritakan lebih lanjut mengenai asal usul  Zailani dan sekadar menunjukkan surat berkenaan sahaja.

"Namun suratnya sudah hilang kerana terlalu lama disimpan.

“Ketika saya kecil arwah ayah, Wahab Johar bekerja sebagai pemandu sebelum bertukar kerja sebagai pemandu teksi," katanya.

Zailani berkata, arwah bapanya tidak pernah menyebut atau menyentuh tentang asal usulnya.

"Melihat dari sijil pendaftaran kelahiran saya tertulis Hospital Batu Pahat selain nama saya yang ber ‘bin’ kan namanya,” katanya.

Menurutnya, ketika mendapat tahu perkara itu dia tidak tergerak untuk mencari orang tuanya, namun setelah pemergian orang tua angkatnya barulah dia mula mencari dan bertanya kepada saudara mara mengenai hal itu.

“Kasih sayang yang diberikan kepada saya dan kakak adalah sama rata dan tidak berbelah bagi. Malah pada awalnya saya tidak terfikir untuk mencari mereka namun sebaik sahaja berkahwin, isteri (Norfaezah Abdullah, 42) juga sering menggalakkan saya mencari ibu bapa kandung.

“Namun apabila bertanya kepada saudara mara kebanyakan mereka kata tidak tahu. Dengan maklumat yang kurang menyebabkan saya sukar untuk mencari mereka.

"Oleh itu saya harap melalui siaran akhbar ini mungkin ada pihak yang terbaca dan mengenali saya. Saya berharap dapat berjumpa dengan mereka atau mendapat tahu siapa orang tua atau saudara mara kandung saya,” katanya.

No comments:

Post a Comment