Monday, May 20, 2013

Sandiwara Pervez Musharraf

Sandiwara Pervez Musharraf
Musharraf tiba di kediamannya di Islamabad untuk
menyampaikan manifesto APML pada 15 April lalu. Foto: AP
BAGAIMANA Pervez Musharraf menjadikan kisah hidupnya daripada fantasi laman sosial kepada satu sandiwara selepas bekas pemerintah diktator itu menggelar dirinya sebagai 'penyelamat rakyat' walaupun tidak disenangi banyak pihak.

Musharraf sering menjadikan laman Facebook dan Twitter sebagai medium untuk meraih sokongan, namun beliau tidak pernah menunjukkan perasaan kesal atas kesilapannya sebelum ini.

Kehidupan awal

Bekas pemerintah tentera tersebut dilahirkan pada 11 Ogos 1943 di Mohallah Kacha Saad Ullah, Old Delhi dan merupakan anak kedua daripada tiga beradik.
Sandiwara Pervez Musharraf
Pervez Musharraf

Beliau dan keluarganya pernah berhijrah ke beberapa negara seperti Karachi, Istanbul dan Turki berikutan tuntutan tugas bapanya, Syed Musharraf Uddin yang berkhidmat sebagai diplomat.

Tidak lama selepas pembahagian India dan Pakistan pada 1947, bapanya membawa mereka sekeluarga  berpindah  ke Pakistan.

Musharraf tamat belajar di Sekolah St Patrick di Karachi pada 1958 dan kemudiannya, beliau melanjutkan pengajian di Kolej Forman Christian di Lahore.

Sertai maktab tentera

Pada 1961, bekas pemimpin itu memasuki Akademi Tentera Pakistan dan berjaya menamatkan pengajiannya hingga gred 11.

Musharraf ditauliahkan pada April 1964 ke dalam Rejimen Altileri dan tidak lama selepas itu beliau menyertai Pasukan Perkhidmatan Khas.

Minatnya dalam bidang ketenteraan diteruskan di Maktab Turus dan Perintah serta Maktab Pertahanan Kebangsaan.

Keberanian yang ditunjukkan oleh Musharraf dalam beberapa siri pertempuran dengan India berhubung pertikaian wilayah menyebabkan beliau dianugerahkan pingat dan kenaikan pangkat.

Menjelang 1980-1990-an, Musharraf terus mencipta kemasyhuran dan susulan daripada itu, beliau dinaikkan pangkat sebagai Ketua Turus dan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Ketua Turus oleh Perdana Menteri, Nawaz Sharif pada 1998.

Rampas kuasa

Pergolakan bersenjata antara India dan Pakistan (Konflik Kargil) pada Mei hingga Julai 1999 menjadi titik tolak kepada permusuhan antara Musharraf dan Sharif.

Kekalahan tentera Pakistan menyebabkan mereka saling menuding jari menyalahkan satu antara sama lain.

Pada 12 Oktober, Sharif pernah cuba untuk memecat Musharraf tetapi keputusan itu ditolak Jeneral Kanan Tentera.

Konflik itu menyebabkan tentera berjaya merampas kuasa dan meletakkan Sharif di bawah tahanan rumah sebelum dibuang negeri ke Arab Saudi.

Musharraf mengambil alih kerajaan dan melantik dirinya sendiri sebagai presiden baru negara tersebut.

Setuju serah kuasa

Bagaimanapun, seorang ahli Parlimen dari bekas parti pemerintah memfailkan petisyen di Mahkamah Agung bagi mencabar rampasan kuasa tentera yang menggulingkan Sharif.

Susulan daripada itu, Mahkamah Agung telah mengarahkan Musharraf mengadakan pilihan raya pada 12 Oktober 2002.

Bagi memastikan beliau terus berkuasa, bekas presiden itu turut mengadakan pungutan suara pada untuk melanjutkan tempoh penggal pemerintahannya kepada lima tahun lagi.

Beliau mendakwa memperoleh 80 peratus sokongan, namun keputusannya dipertikaikan kerana dipercayai ada unsur penipuan.

Keputusan pilihan raya menyaksikan Liga Bersatu Muslim Pakistan (APML) di bawah pimpinan Musharraf memperoleh undi terbanyak.

Kira-kira sebulan selepas itu Musharraf membuat perjanjian dengan gabungan enam parti Islam untuk melepaskan jawatan dalam tentera pada akhir Disember 2004.

Letak jawatan

Pada Oktober 2007, Musharraf dilantik semula sebagai presiden tetapi keputusan itu dipersoalkan oleh beberapa hakim kerana beliau masih memegang jawatan sebagai ketua tentera.

Insiden tersebut mencetuskan kemarahan Musharraf dan beliau telah mengarahkan penahanan para hakim kanan dan turut menggantung Perlembagaan serta mengisytiharkan darurat.

Pada 24 November, Suruhanjaya Pilihan Raya Pakistan mengesahkan pelantikan semula Musharraf dan beliau juga meletak jawatan sebagai ketua tentera empat hari selepas itu.

Parti Rakyat Pakistan telah menamakan bekas Speaker Parlimen, Syed Yousaf Raza Gillani sebagai calon perdana menteri untuk memimpin kerajaan campuran bagi menentang Musharraf pada 22 Mac 2008.

Pada 18 Ogos, Musharraf akhirnya  meletak jawatan sebagai presiden dan keputusan beliau itu disambut gembira oleh seluruh penduduk Pakistan.

Kembali semula

Musharraf cuba memulihkan semula imejnya dengan mengambil risiko pulang semula ke Pakistan pada 23 Mac lalu selepas hidup dalam buangan selama empat tahun.

Walaupun kepulangannya tidak disenangi banyak pihak, beliau dengan yakin menyatakan keputusannya untuk bertanding di empat wilayah.

Pada mulanya, Musharraf tidak dibenarkan bertanding tetapi pihak berkuasa pilihan raya menarik semula larangan itu.

Bagaimanapun, rancangan Musharraf untuk kembali bertanding musnah selepas Mahkamah Pakistan mengenakan larangan seumur hidup yang mengharamkan penyertaan bekas pemimpin tersebut dalam arena politik di negara itu.

Susulan daripada itu, APML memutuskan untuk memboikot pilihan raya 12 Mei lalu, namun parti pimpinan Musharraf itu berjaya memenangi dua kerusi Perhimpunan Kebangsaan dan Perhimpunan Wilayah.

No comments:

Post a Comment