Monday, May 20, 2013

Mahkamah Syariah pertama di Mumbai



Mumbai: Sebuah kumpulan Islam menubuhkan sebuah mahkamah Syariah di Mumbai bertujuan menyelesaikan pertikaian sivil dan perkahwinan di kalangan keluarga Islam.

Tidak seperti sistem mahkamah utama, proses penghakiman di mahkamah terbabit dikatakan lebih cepat selain tidak terlalu mahal.
Untuk sekian lamanya, masyarakat Islam Mumbai mahukan sebuah Tribunal Keadilan Islam bagi menyelesaikan pertikaian di kalangan keluarga Islam.

Mahkamah Syariah sudah mula berfungsi di kebanyakan wilayah di India seperti Hyderabad, Patna dan Malegaon.

Walaupun ada larangan daripada meluluskan penghakiman terhadap kes jenayah, hakim yang juga dikenali sebagai Qadi mendengar pelbagai pertikaian masyarakat dan menjatuhkan pengadilan mereka. Mereka dilantik oleh Lembaga Undang-Undang Persendirian Islam India (AIMPLB).

Selesai masalah ikut undang-undang Islam

Seorang guru agama kanan, Maulana Wali Rahmani yang juga setiausaha di AIMPLB berkata: Mahkamah ini akan berfungsi untuk menyelesaikan, terutama pertikaian keluarga di kalangan keluarga Islam membabitkan perkahwinan, perceraian dan waris berdasarkan undang-undang Islam.
Berdasarkan undang-undang persendirian Islam, mahkamah syariah menyelesaikan pertikaian keluarga, malah juga harta benda jika penyelesaiannya hanya boleh dilakukan mengikut undang-undang Syariah.

Ia bukan bertujuan bersaing dengan mahkamah sivil tetapi secara perbandingan akan mengurangkan beban mahkamah ini, yang memiliki banyak kes-kes tertunggak.

Seorang peguam kanan dan juga ketua perundangan AIMPLB, Yusuf Muchulla berkata: Anda lihat, ia adalah satu konsep memiliki sebuah tribunal domestik. Ia seperti sebuah alternatif bagi penyelesaian pertikaian yang digalakkan sekarang. Ada terlalu banyak kes di mahkamah tempatan sekarang. Jadi, ini akan menggalakkan orang ramai untuk datang dan menyelesaikan kes mereka mengikut undang-undang Islam.

Pertikai keputusan

Bagaimanapun ada yang mempertikaikan nilai keputusan mahkamah Syariah ini.

Pengetua Kolej Perdagangan dan Kesusasteraan Burhani, Dr. Farrukh Waris merasakan bahawa walaupun ia adalah undang-undang bagi orang Islam tetapi mahkamah Syariah tidak dilihat menghukum seseorang individu jika pengadilan ini tidak dipatuhi.
AGENSI

No comments:

Post a Comment