KAHERAH 12 Mei - Ketua Tentera Mesir semalam, memberi amaran bahawa tindakan alternatif berbentuk ekstrem akan diambil sekiranya masalah perpecahan rakyat di negara ini tidak dapat diselesaikan.
Media tempatan melaporkan, Jeneral Abdul Fatah al-Sissi (gambar) yang juga merupakan Menteri Pertahanan menggesa penduduk negara ini yang terdiri daripada pelbagai puak agar mengamalkan sikap toleransi antara satu sama lain.
Bagaimanapun, beliau menolak untuk campur tangan dalam politik negara ini selepas berakhirnya pemberontakan dan menyaksikan Presiden, Mohamed Mursi mengambi alih kuasa pada tahun lalu melalui pilihan raya.
Beberapa pengkritik Mohamed menggesa agar tentera campur tangan bagi menangani pergolakan yang tercetus sejak beberapa bulan kebelakangan ini, yang menyaksikan berpuluh-puluh penunjuk perasaan terbunuh.
Abdul Fatah berkata, pilihan raya merupakan cara terbaik untuk menangani masalah tersebut berbanding campur tangan tentera.
"Campur tangan ketenteraan bukanlah jalan penyelesaian terbaik dan mengundi menerusi pilihan raya adalah pilihan tepat kerana itu tidak akan memusnahkan negara," katanya.
Mohamed dalam satu sidang media pada bulan lalu mengumumkan telah menjalinkan hubungan baik dengan pihak ketenteraan, selepas timbul khabar angin menyatakan beliau tidak sependapat dengan tentera.
Pihak tentera mentadbir Mesir selepas penggulingan Presiden, Hosni Mubarak pada awal 2011, sebelum menyerahkan kuasa kepada Mohamed yang memenangi pilihan raya Presiden pada Jun lalu. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130513/lu_04/Mesir-Tentera-tolak-campur-tangan#ixzz2TDKlemzV
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment