Kuala Lumpur: UMNO memohon untuk membatalkan pernyataan pembelaan Naib Presiden PKR, Tian Chua dan dua lagi dalam kes saman malu difailkan parti itu kerana mengaitkannya dengan pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah, awal Februari lalu.
Peguam Raihanah Ariffin yang mewakili Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab Rauf Yusoh, ketika ditemui, berkata UMNO memfailkan permohonan itu pada 7 Mei lalu dengan alasan pembelaan ketiga-tiga defendan adalah remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah.
Katanya, melalui prosiding dalam kamar di Mahkamah Tinggi di sini, semalam, Hakim Rosilah Yop menetapkan pada 12 Jun depan untuk mendengar permohonan anak guamnya.
Fail tuntutan 15 Mac
Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan difailkan pada 15 Mac lalu, Ab Rauf selaku plaintif dan mewakili UMNO menamakan Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang; Editor KeadilanDaily.com, Fazallah Pit dan wartawan, Aisha Geoffrey sebagai defendan pertama, kedua dan ketiga.
Dalam pernyataan tuntutan, Ab Rauf berkata, Tian Chua mengeluarkan kata-kata fitnah melalui artikel ‘Insiden tembakan di Lahad Datu konspirasi terancang UMNO’ yang dilaporkan dan diterbitkan KeadilanDaily pada 1 Mac lalu ketika ditemuramah oleh wartawan portal itu.
Berikutan penyiaran fitnah itu, plaintif mendakwa reputasi UMNO terjejas, diaibkan dan dihina oleh khalayak ramai dan masyarakat awam serta antarabangsa.
Sehubungan itu, Ab Rauf menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan serta injuksi menghalang defendan berbicara lebih lanjut atau menerbitkan fitnah itu, sama ada secara lisan, menerusi media cetak atau internet.
No comments:
Post a Comment