Datuk S Murugesan
Datuk S Murugesan
KUALA LUMPUR - Datuk S. Murugesan meletak jawatan sebagai Setiausaha Agung MIC berkuat kuasa serta-merta, selain menggesa parti itu melakukan pembaharuan.
Keputusan itu dibuat beliau susulan kegagalannya merampas kerusi Parlimen Kota Raja untuk Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang baru berakhir.
Bagaimanapun, peguam berusia 46 tahun itu berkata, beliau akan terus
berkhidmat untuk parti atas kapasitinya sebagai anggota jawatankuasa kerja pusat dan pengerusi cawangan Shah Alam.
"Saya sudah memaklumkan kepada presiden mengenai niat saya untuk meletak jawatan sebagai setiausaha agung jika saya kalah pada pilihan raya.
"Saya beri masa beberapa hari kepada beliau untuk mencari pengganti yang sesuai," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Murugesan dilantik sebagai Setiausaha Agung MIC pada 2011 oleh Presiden parti Datuk Seri G. Palanivel.
"Saya telah melakukan yang terbaik sebagai Setiausaha Agung untuk membawa parti ke hadapan dan menjadi lebih relevan kepada generasi muda.
"Bagaimanapun saya percaya masa telah tiba untuk saya berundur dan memberi peluang kepada yang lain meneruskan proses membangunkan semula parti di bawah Palanivel," katanya.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Palanivel kerana memberinya peluang untuk berkhidmat sebagai setiausaha agung parti.
Pada pilihan raya umum 5 Mei lepas, Murugesan kalah kepada penyandang Dr Siti Mariah Mahmud daripada PAS yang memperoleh majoriti 29,395 undi. - Bernama