suspek serangan Reyhanli serah diri
Ratusan mangsa mengalami cedera parah apabila bangunan musnah dan puluhan kenderaan rosak teruk dalam kejadian serangan bom di bandar Reyhanli, sempadan Turki-Syria, kelmarin.
ANKARA - Sembilan lelaki penduduk tempatan menyerah diri selepas mengaku terlibat dalam dua serangan bom kelmarin di bandar selatan Reyhanli, sempadan Syria-Turki hingga menyebabkan lebih  50 penduduk maut manakala ratusan yang lain cedera.

Timbalan Perdana Menteri, Besir Atalay berkata, sembilan suspek itu ditahan selepas mereka menyerah diri dan mengaku bertanggungjawab dalam kejadian itu.

Menurut sumber polis, lima daripada suspek adalah ahli Parti Pembebasan Revolusi Rakyat (DHKP), manakala empat yang lain mendakwa mereka sebagai ahli kumpulan militan Acilciler.

Sementara itu, Syria menyelar tindakan Turki yang menuduh negara itu mendalangi pengeboman terbabit.

Menteri Penerangan Syria, Omran al-Zohbi berkata, Damsyik tidak melakukan dan tidak 'akan' melakukan perbuatan itu kerana perbuatan terbabit menyalahi undang-undang negara dan kemanusiaan.

“Anda perlu tanya kepada Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan. Beliau yang perlu dipertanggungjawabkan, “ katanya dalam temu bual di sebuah stesen televisyen tempatan.

Beliau mendakwa, Turki sebenarnya merancang serangan bom itu bagi mencari alasan kukuh untuk membenarkan campur tangan asing di Syria.

Kejadian itu juga mendapat kutukan Iran apabila Perdana Menteri Iraq, Nouri al-Maliki menyelar perbuatan Turki yang sanggup memperjudikan nyawa rakyatnya untuk kepentingan politik, laporan dipetik daripada Reuters.