Tuesday, May 14, 2013

Hosni Mubarak bimbang masa depan Mesir



KAHERAH 12 Mei - Bekas pemimpin Mesir, Hosni Mubarak berkata, masih terlalu awal untuk menghakimi pentadbiran Presiden, Mohamed Mursi kerana pemimpin pergerakan Islam itu menghadapi tugas yang sukar.
Hosni yang mentadbir Mesir selama hampir 30 tahun berkata, beliau berasa sedih dengan keadaan yang dihadapi penduduk miskin dan keadaan ekonomi negara, ekoran ketidakstabilan politik di Mesir yang menakutkan pelabur dan pelancong.
Beliau berkata demikian dalam temu bual pertamanya dengan akhbar El-Watan, semalam sejak beliau digulingkan pada 2011.
Akhbar El-Watan berkata, wartawannya terpaksa merempuh sekatan keselamatan untuk menemubual Hosni, 85, sebelum perbicaraan beliau disambung semula, semalam atas dakwaan bersubahat dalam pembunuhan penunjuk perasaan ketika kebangkitan rakyat yang menyaksikan beliau digulingkan.
‘‘Beliau (Mohamed) adalah seorang Presiden baharu yang menjalankan misi berat buat kali pertama dan kita tidak sepatutnya menghakimi beliau sekarang,’’ kata Hosni dalam temu bual yang disiarkan hari ini.
Hosni melahirkan kebimbangan terhadap prospek Mesir berhubung perjanjian dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) berjumlah AS$4.8 bilion (RM14.88 bilion) yang dilihat penting untuk menyokong ekonomi.
Hosni berkata, penduduk miskin merupakan golongan yang dipentingkan dalam membuat sebarang keputusan berhubung subsidi perbelanjaan asas.
Bagaimanapun, satu daripada peguam yang mewakili Hosni, Farid el-Deeb menafikan bekas Presiden Mesir itu ada memberi kenyataan kepada media dan menyifatkan laporan berkenaan adalah palsu. - Reuters/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130513/lu_07/Hosni-Mubarak-bimbang-masa-depan-Mesir#ixzz2TDJwUbZH
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment