BANGKOK - Kerajaan Thailand menimbang untuk mengurangkan bilangan tentera di selatan negara itu yang bergolak jika keadaan tenang sekarang berterusan, kata Timbalan Perdana Menteri, Pracha Promnog semalam.
"Kita tidak akan mengundurkan askar dari rantau itu tetapi kita boleh mengurangkan bilangan mereka bagi memberi tumpuan kepada pembangunan dan bukan peperangan.
Beliau berkata demikian selepas kerajaan Thai dan kumpulan pemberontak Islam Barisan Revolusi Nasional (BRN) bersetuju mengekang keganasan sepanjang Ramadan ini.
"Setakat ini, cuma sedikit keganasan tanpa kemalangan jiwa berlaku sepanjang minggu pertama bulan suci ini," kata Pracha Promnog
"Kita boleh katakan bahawa BRN ikhlas berdasarkan tindak-tanduk mereka," tambah pemimpin tersebut.
Konflik hampir sedekad di beberapa wilayah selatan Thailand telah meragut lebih 5,700 nyawa setakat ini.
Thailand menempatkan sekitar 60,000 askar di selatan negara itu.
Di sebalik beberapa pusingan rundingan damai sejak Mac lalu, pertumpahan darah yang berterusan menjelang Ramadan menimbulkan kesangsian berhubung keupayaan barisan pemimpin pemberontak mengawal tindakan anggota mereka.
Dalam satu serangan paling berdarah di negara itu, lapan askar maut dalam satu letupan bom tepi jalan yang memusnahkan trak yang membawa mereka pada bulan lalu.
"Namun, situasi kini ke arah yang positif," kata ketua Majlis Keselamatan Negara yang juga ketua perunding keamanan Thailand, Paradorn Pattanatabut.
Kerajaan Malaysia yang menjadi tuan rumah siri rundingan damai berkenaan memberitahu, pasukan keselamatan Thai berjanji tidak bertindak agresif bermula dari 10 Julai hingga 18 Ogos depan manakala BRN pula bersetuju untuk tidak melakukan keganasan sepanjang tempoh 40 hari tersebut.
Di bawah pelan itu, pihak berkuasa Thailand menamatkan sejumlah sekatan jalan raya dengan tentera mengundurkan anggotanya dari kampung-kampung dalam usaha mengurangkan ketegangan. - AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0717&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2ZH7vl3CC
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment