Thursday, July 18, 2013

Nama saya Mohd Rafizi Ramli

Nama saya Mohd Rafizi Ramli. 36 tahun lalu, saya dilahirkan di sebuah rumah di dalam kebun getah di Besut, Terengganu. Ingatan pertama saya adalah sebuah perigi kerana rumah saya tidak mempunyai bekalan paip air.

Ibu bapa saya tidak mengajar saya untuk meminta-minta atau malu kerana hidup kami tidak seberapa. Kami diajar untuk berusaha dan berdoa. Saya dibesarkan untuk tidak memusuhi sesiapa.

Sekolah banyak mengajar saya erti setiakawan, rasa hormat dan timbang rasa. Saya mula menolak faham perkauman di sekolah kerana guru-guru yang berbilang bangsa bersungguh-sungguh mengajar saya dengan penuh ikhlas dan rasa sayang.

Cikgu Syed Mohd Azhan mengasuh minat dan bakat saya dalam perdebatan. Cikgu Liew Lai Chun selalu bawa saya berbuka puasa dan memberi kelas tambahan percuma. Cikgu Thaman Singh masih membantu saya menjaga pasukan hoki MCKK walaupun usia sudah lanjut 70 tahun.

Saya faham dari awal bahawa semua anak Malaysia adalah bersaudara dan kita tidak wajar mencurigai satu sama lain.

Anak muda Malaysia perlu yakin dan memandang ke hadapan. Kita tidak perlu ditakutkan dengan ancaman persengketaan dan kecurigaan lampau sedang rasuah dan penyelewengan semakin menekan kehidupan kita seharian.

Harga barang naik, hutang yang melampau, rumah yang terlalu mahal, pendidikan yang diperniagakan, peluang kerja yang sempit dan gaji yang tidak meningkat adalah kesan dari pengurusan ekonomi yang dicemari dengan rasuah.

Anak muda Malaysia perlu bina jatidiri supaya kita yakin bersaing, kritikal menyuarakan pendapat dan bebas membuat pilihan.

Saya anak Melayu kampung dari kebun getah. Saya yakin semua anak muda Melayu adalah berdaya saing dan pandai seperti mana anak muda Cina, India, Iban dan Kadazan.

Dengan keyakinan seperti ini, anak muda bakal membina harapan rakyat Malaysia.

Rafizi Ramli
Pengarah Strategi KEADILAN

No comments:

Post a Comment