Monday, September 22, 2014

60,000 Kurdis lari ke Turki


SURUC, Turki 21 Sept. - Kira-kira 60,000 penduduk Syria daripada etnik Kurdis dilaporkan melarikan diri ke negara ini dalam tempoh 24 jam lalu selepas anggota kumpulan militan Negara Islam (IS) menawan berpuluh-puluh kampung berhampiran sempadan kedua-dua negara di bandar Ayn al-Arab yang turut dikenali sebagai Kobani di utara Syria.
Timbalan Perdana Menteri Turki, Numan Kurtulmus, semalam berkata, Turki mula membuka pintu sempadan mereka kelmarin selepas penduduk Kurdis itu bimbang mereka akan diserang kumpulan militan IS selepas seorang komander etnik berkenaan memaklumkan kumpulan militan itu telah mara hingga 15 kilometer dari bandar tersebut.
Kurtulmus meletakkan jumlah entik Kurdis yang menyeberangi sempadan sejauh 30 kilometer itu seramai 60,000 orang selepas ia dibuka, kelmarin, manakala beribu-ribu penduduk lagi masih menunggu untuk menyeberangi sempadan itu setakat semalam.
Menurut penduduk tempatan, mereka bimbang berlaku pembunuhan beramai-ramai di Kobani yang merupakan lokasi strategik menyekat kemaraan IS untuk menguasai seluruh kawasan utara Syria.
Seorang petani, Lokman Isa, 34, berkata, dia bersama ahli keluarganya dan 30 keluarga yang lain melarikan diri selepas pasukan bersenjata berat IS memasuki Kampung Celebi, namun tentera Kurdis hanya menggunakan senjata ringan.
"Mereka memusnahkan setiap tempat yang mereka pergi. Kami melihat mereka di Sinjar di Iraq dan kami meninggalkan tempat itu dalam ketakutan,'' katanya di bandar Suruc yang menjadi lokasi kem pelarian yang dibina pihak berkuasa untuk etnik tersebut.
Tentera Kurdis dalam pada itu telah memindahkan penduduk dari sekurang-kurangnya 100 buah kampung di Syria sejak kumpulan IS melakukan pembunuhan beramai-ramai sejak Selasa lalu.
"IS melihat Kobani seperti kudis dan mereka sedang menuju ke bandar itu,'' kata Pengarah Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria, Rami Abdel Rahman.
Menurutnya, IS telah membunuh sekurang-kurangnya 11 penduduk Kurdis termasuk kanak-kanak di beberapa buah kampung yang mereka tawan di Kobani.
- REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140922/lu_05/60000-Kurdis-lari-ke-Turki#ixzz3E34109WX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment