SHAH ALAM 21 Sept. - Siapa yang akan dipilih sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dijangka diketahui esok.
Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Datuk Mohamad Munir Bani sebelum ini berkata, nama tersebut bakal diumumkan selewat-lewatnya esok.
Esok adalah satu-satunya hari untuk membuat pengumuman berkenaan memandangkan Selasa ini akan berlangsung istiadat pelantikan menteri besar yang baharu di Istana Alam Shah, Klang.
Tiga calon sudah pun disenarai pendek dan difahamkan telah menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah pada minggu lalu iaitu Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali; Pesuruhjaya Pas negeri, Iskandar Abdul Samad dan Bendahari Pas negeri, Dr. Ahmad Yunus Hairi.
Di atas kertas, Azmin mempunyai peluang cerah berikutan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri mengakui parti itu tidak 'berminat' untuk merebut jawatan berkenaan.
Dalam pakatan pembangkang sendiri, ketiga-tiga parti iaitu Pas, PKR dan DAP telah bersepakat supaya negeri ini ditadbir oleh PKR meskipun tiada hitam putih mengenainya seperti mana Kelantan diberikan kepada Pas manakala Pulau Pinang untuk DAP.
Bagaimanapun dari segi moral, Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa terpalit dengan pelbagai kontroversi.
Selain itu, beliau dan Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dikatakan boneka ciptaan Penasihat parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mana Istana Selangor sebelum ini menegaskan menolak calon yang boleh dipengaruhi oleh individu tertentu melalui 'kawalan jauh'.
Azmin juga mungkin bakal berdepan tentangan daripada Anwar yang cuba memohon perkenan Sultan Selangor pada saat-saat akhir untuk menghadap baginda sebelum pengumuman dibuat bagi memastikan perancangan supaya isterinya, Wan Azizah dipilih sebagai menteri besar tetap menjadi kenyataan.
Anwar dengan apa cara sekalipun dikatakan akan terus mencari jalan untuk memastikan hasratnya menjadikan Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor tercapai.
Apa pun sekiranya kesemua aspek negatif berkenaan diambil kira, maka dua wakil rakyat Pas iaitu Iskandar dan Ahmad Yunus mempunyai peluang besar untuk memegang jawatan Menteri Besar.
Lebih-lebih lagi Abdul Hadi dalam ucapan penggulungan dan penangguhan Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-60 semalam menegaskan isu kerusi Menteri Besar tidak boleh diselesaikan melalui hukum akal semata-mata, sebaliknya terdapat hukum-hukum syariat yang perlu dipatuhi.
Menurut Abdul Hadi, walaupun Pas tidak mahu jawatan Menteri Besar Selangor, menyedari tanggungjawab dalam perkara itu, pihaknya mesti campur tangan untuk menyelesaikan kemelut tersebut sebagai satu amanah.
Ditambah pula jumlah kerusi Pas dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah 15 manakala PKR 13 dan DAP 15, maka wakil rakyat Pas sama ada Iskandar atau Ahmad Yunus yang sepatutnya memikul tugas sebagai Menteri Besar.
Walau bagaimanapun, Sultan Sharafuddin Idris Shah kini sudah pasti mempunyai pilihannya sendiri berdasarkan kebijaksanaan dan pengamatannya terhadap ketiga-tiga calon terbabit selain mengambil kira senario politik semasa di negeri ini.
Sehubungan itu, semua pihak seharusnya akur dengan keputusan baginda nanti.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140922/po_01/Siapa-MB-Selangor#ixzz3E33jXlIh
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment