Bakal presiden baru Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) berkata, dia masih menyemak 200 nama untuk dilantik sebagai anggota Kabinetnya.
Menurutnya, jumlah itu sudah ditapis sebelum ini.
“Saya akan terus menapis dan apabila siap kelak, saya akan mengumumkannya,” kata presiden terpilih itu ketika ditemui di majlis akikah cucu bakal timbalannya, Jusuf Kalla, di Jakarta Selatan, semalam.
Menurut Jokowi, penyemakan itu membabitkan penelitian terhadap latar belakang calon.
‘Selepas proses menyaring nama itu, mereka akan dipanggil sebelum saya membuat keputusan muktamad,” katanya.
Beliau juga enggan memberitahu jumlah anggota Parti Demokrasi Indonesia-Perjuangan (PDI-P) yang akan menganggotai Kabinetnya itu.
Jokowi sebelum ini berkata, kerajaan yang akan dibentuknya bulan depan akan mempunyai 34 kementerian.
Enam belas daripada kementerian itu akan diketuai tokoh politik sementara bakinya golongan profesional.
Jumlah itu sama dengan yang ada sekarang walaupun Jokowi pernah berkata, beliau merancang mempunyai anggota Kabinet yang lebih kecil.
Dalam perkembangan sama, perhimpunan agung PDI-P yang berakhir kelmarin mengesorkan supaya kerajaan Jokowi itu memilih nama ‘Kabinet Trisakti.\ Usul itu dikemukakan oleh Ketua PDI-P, Puan Maharani pada akhir perhimpunan itu di Semarang, Jawa Tengah.
- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/22
No comments:
Post a Comment