Monday, October 6, 2014

2,100 lembu tumbang


Kuala Lumpur: Sebanyak 2,100 ekor lembu dikorbankan sempena Aidiladha semalam di 70 masjid dan 50 surau di sekitar ibu negara.
Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Paimuzi Yahya berkata, jumlah itu membabitkan program sehingga Rabu ini. 
“Pemilihan hari bagi aktiviti penyembelihan lembu bergantung kepada pengurusan masjid. 

“Bagaimanapun setakat ini semuanya berjalan lancar dengan kerjasama kariah masjid dan penduduk setempat,” katanya ketika ditemui di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta.
Foto
SUKARELAWAN merebahkan lembu korban di Masjid Wilayah Persekutuan.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Othman Mustapha bagi mengagihkan daging korban kepada kira-kira 500 peserta dan orang awam.

Sementara itu di masjid berkenaan, sebanyak 12 ekor lembu dikorbankan bermula jam 9 pagi sehingga 1 petang membabitkan 350 petugas sukarela. 

Penolong Pengarah Pengimarahan Masjid Wilayah Persekutuan Muhammad Asyraf Ibrahim berkata, pihaknya mengadakan kursus insentif penyembelihan secara amali kepada orang awam seminggu sebelum Aidiladha. 

“Usaha ini bagi mendedahkan ilmu dan adab ketika penyembelihan mengikut syarak seterusnya memberi peluang kepada peserta memperoleh pengalaman menyembelih,” katanya. 

Manakala di Masjid Negara pula dijadualkan ibadat korban diadakan pada hari ini membabitkan 60 ekor lembu. 

Pegawai Perhubungan Awam Masjid Negara Khisamudin Ismail berkata, daripada jumlah berkenaan 30 ekor lembu disembelih di masjid manakala baki di ladang ternakan bergantung kepada penderma.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/06

No comments:

Post a Comment