Hong Kong: Pemimpin pelajar di bandaraya ini menyeru penunjuk perasaan prodemokrasi untuk meninggalkan lokasi protes mereka dan bergabung dengan kumpulan penunjuk perasaan lebih besar di lokasi lain.
Gesaan itu dibuat ketika mereka bersiap sedia untuk berdepan dengan kemungkinan bertempur sekali lagi dengan polis.
Puluhan ribu penunjuk perasaan berhimpun di seluruh Hong Kong sejak minggu lalu, mendesak pemimpin pro-Beijing bandaraya itu, Leung Chun-ying meletak jawatan dan menuntut hak untuk mengundi calon pilihan mereka dalam pilihan raya pada 2017 nanti.
Puluhan penunjuk perasaan di Mong Kok dilihat menangis selepas diarah berkemas dan menuju ke daerah Admiralty, bersebelahan dengan daerah perniagaan utama bandaraya itu.
“Kami akan kembali. Berjuang hingga ke akhirnya,” laung kumpulan pelajar berkenaan.
Daerah Mong Kok yang sibuk itu menyaksikan pertempuran terburuk antara kumpulan pro-Beijing dan penunjuk perasaan prodemokrasi sejak beberapa hari lalu.
Ramai penduduk Hong Kong meluahkan rasa marah dan kecewa kerana kegagalan polis menangani tunjuk perasaan itu.
Ada di antaranya mendakwa pasukan keselamatan bersekongkol dengan kumpulan penjenayah, gagal melakukan penahanan dan membantu kumpulan penyerang melarikan diri.- AP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/06
No comments:
Post a Comment