Monday, October 6, 2014

Situasi semasa politik di Hong Kong terus panas


SEBAHAGIAN penunjuk perasaan, cuba mengalihkan besi penghalang yang dibina oleh penunjuk perasaan prodemokrasi di sebatang jalan di daerah Mong Kok, Hong Kong, kelmarin. - REUTERS
HONG KONG 5 Okt. - Situasi semasa politik di bandar raya ini dilihat semakin meruncing selepas penunjuk perasaan prodemokrasi bertempur dengan polis antirusuhan yang menggunakan belantan dan penyembur lada hari ini, ketika pemimpin pelajar berhasrat untuk membuka semula pintu rundingan dengan kerajaan.
Agensi berita Channel News Asia melaporkan, tunjuk perasaan yang memasuki hari ketujuh hari ini menyaksikan berpuluh-puluh ribu penduduk Hong Kong berkumpul secara aman berhampiran pusat pentadbiran kerajaan sambil melaungkan slogan 'Keamanan Anti Keganasan' sambil menyanyikan lagu demokrasi.
Dalam satu lagi bantahan yang diadakan di daerah Mong Kok, penunjuk perasaan bertindak mengepung anggota polis yang ditugaskan ke kawasan berkenaan sambil menuduh mereka berkomplot dengan kumpulan kongsi gelap.
Wartawan AFP melaporkan, tindakan penunjuk perasaan berkenaan menyebabkan polis bertindak melepaskan semburan lada terhadap mereka.
"Polis bekerjasama dengan kumpulan samseng. Kami mempunyai saksi polis membawa samseng tersebut, sebab itu penunjuk perasaan menjadi begitu marah. Kami sudah tidak percaya kepada polis lagi," kata seorang penunjuk perasaan yang dikenali sebagai David Chan, 22.
Terdahulu, pemimpin pelajar berkata, mereka akan mengadakan rundingan dengan pihak kerajaan jika beberapa syarat yang telah ditetapkan dipenuhi.
"Selagi kerajaan memberi tindak balas yang positif berhubung permintaan kami, kumpulan pelajar sedia untuk mengadakan rundingan sekali lagi," kata ketua Persekutuan Pelajar Hong Kong (HFKS) dalam satu kenyataan hari ini.
Kumpulan prodemokrasi bertindak memenuhi jalan-jalan utama di wilayah ini sejak seminggu lalu bagi menuntut hak untuk mencalonkan pemimpin pada pilihan raya 2017 nanti, selepas Beijing menegaskan hanya calon yang dipersetujui oleh mereka boleh mengambil bahagian.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141006/lu_06/Situasi-semasa-politik-di-Hong-Kong-terus-panas#ixzz3FJJGTCNZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment