HONG KONG – Pergaduhan baharu tercetus ketika bantahan prodemokrasi di sini semalam dengan polis pencegah rusuhan menggunakan belantan dan penyembur lada terhadap penunjuk perasaan.
Protes itu yang memasuki hari ketujuh menyaksikan puluhan ribu penduduk pulau ini berhimpun untuk mengadakan bantahan secara aman di pusat bandar berdekatan ibu pejabat kerajaan.
Mereka melaungkan slogan “Keamanan!” dan “Antikeganasan!” serta menyanyikan lagu demokrasi.
Jumlah mereka berkurangan sehingga tinggal beberapa ratus orang yang masih berkampung di pusat bandar raya dekat pejabat kerajaan di sini menjelang tengah hari semalam.
Kerajaan pulau ini memberi amaran akan bertindak keras terhadap penunjuk perasaan untuk memastikan keadaan kembali aman menjelang hari bekerja hari ini.
Namun, terdahulu di daerah Mong Kok, situasi tegang berlaku apabila kumpulan penunjuk perasaan mengepung polis dan menuduh mereka bersubahat dengan kumpulan samseng, menurut beberapa wartawan agensi berita AFP di lokasi kejadian.
Polis bertindak balas dengan menggunakan semburan lada.
Kumpulan penunjuk perasaan prodemokrasi mengadakan protes sejak seminggu lalu kerana menuntut hak untuk mencalonkan individu yang akan bertanding dalam pilihan raya untuk menjadi pemimpin mereka pada 2017.
Beijing bagaimanapun berdegil hanya akan membenarkan calon yang mendapat kelulusan pemerintah bertanding pada pilihan raya tersebut.
Beberapa pemimpin pelajar berkata, mereka bersetuju untuk menemui wakil kerajaan secara bersyarat selepas menolak untuk berunding kelmarin kerana berang dengan tindakan polis dalam pergelutan sebelum ini.
Di Mongkok, penunjuk perasaan mendakwa polis menangkap pengacau antidemokrasi daripada kumpulan-kumpulan penjenayah di pulau ini dan membebaskan mereka semula.
Kumpulan pengacau itu sebelum ini bertindak ganas menyerang penunjuk perasaan yang berhimpun secara aman dan merobohkan khemahkhemah pada Jumaat lepas.
“Polis bersubahat dengan kumpulan gengster,” kata seorang pelajar lelaki berusia 22 tahun, David Chan.
Insiden itu mencetuskan dakwaan bahawa polis gagal melindungi penunjuk perasaan daridap kumpulan pengacau manakala pihak berkuasa turut didakwa mengupah kumpulan samseng untuk mengusir penunjuk perasaan. – AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1006&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3FJLmN3sN
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment