Wednesday, October 29, 2014

Transkrip soal jawab Presiden PAS dengan peguam plaintif

HARAKAHDAILY | 29 Oktober 2014.
KUALA LUMPUR: Dalam PRU13 yang lalu terdapat beberapa pertindihan kerusi antara sesama parti Pakatan Rakyat dan pembangkang. Antara PKR dengan PSM di Dun Semenyih, DAP dengan PSM di Dun Jelapang, dan juga pertindihan calon-calon PAS dengan PKR di beberapa kerusi termasuk di Terengganu.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam salah satu ceramahnya telah meberikan penjelasan kenapa berlaku pertembungan calon tersebut. Penjelasan dalam ceramah tersebut telah dilaporkan oleh sebuah akhbar tempatan dan kemudiannya pihak PKR mengambil tindakan menyaman Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi.Yang berikut transkrip soal jawab antara Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam perbicaraan di mahkamah tinggi Kuala Terengganu semalam, Selasa 28 Oktober, dengan peguam plaintif yang dipetik daripada Buletin Online

S1: Sila nyatakan jawatan Datuk Seri (Abdul Hadi Awang) sekarang?
Saya (Abdul Hadi) sekarang adalah seorang Ahli Parlimen Marang dan Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu iaitu Adun Rhu Rendang. Saya juga merupakan Presien kepada Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Ahli Majlis Presiden Pakatan Rakyat.

S2: Boleh Datuk Seri jelaskan kenapa hadir ke mahkamah pada hari ini?
Saya hadir ke mahkamah pada hari ini untuk memberikan keterangan bagi menafikan segala dakwaan dan saman fitnah yang dikaitkan pihak plaintif terhadap saya.

S3: Tadi Datuk Seri ada menyatakan sebagai Ahli Majlis PR (Pakatan Rakyat). Boleh jelaskan apakah fungsi ahli majlis PR itu?
Fungsi Ahli Majlis PR ialah untuk menyelaras perkara-perkara politik dan strategi bersama parti-parti kompenan PR.

S4: Sehari selepas hari penamaan calon PRU ke-13, adakah Datuk Seri terlibat dengan sebarang ceramah politik?
Ya, ada terlibat di beberapa tempat ceramah. Pertama, saya dijemput untuk memberikan ceramah sempena PRU13 selepas penamaan ialah di Kampung Tebakang. Dun Alor Limbat juga berada di dalam Parlimen Marang, tempat saya bertanding dalam pilihan raya tersebut sebagai mewakili calon Parlimen Marang.

S5: Boleh Datuk Seri jelaskan siapa lagi yang memberikan ceramah di situ?
Saya berceramah bersama dengan Ustaz Ariffin Deraman yang juga calon Dun Alor Limbat, Ustaz Muda Abdullah yang menggantikan Datuk Mustafa Ali.

S6: Lebih kurang berapa lama Datuk Seri berceramah?
Saya memberikan ceramah lebih kurang 30 minit sahaja kerana selepas itu ada beberapa tempat lagi yang perlu saya pergi.

S7: Boleh Datuk Seri jelaskan secara ringkas kandungan ceramah itu?
Secara umumnya kandungan ceramah saya menyentuh mengenai isu-isu pilihan raya, manifesto Pakatan Rakyat khususnya di negeri Terengganu dan isu pilihan calon.

S8: Apakah yang Datuk Seri maksudkan dengan isu pilihan calon sebagaimana yang Datuk Seri nyatakan tadi?
Terdapat beberapa kerusi Dun di beberapa negeri di Malaysia berlaku pertindihan kerusi antara sesama parti Pakatan Rakyat dan pembangkang. Contohnya, antara PKR dengan PSM di Dun Semenyih, DAP dengan PSM di Dun Jelapang, termsuk juga pertindihan calon PAS dengan PKR di beberapa kerusi di negeri ini. Dengan ini dijadikan isu oleh parti lawan (BN) yang menguasai media. Hal tersebut memerlukan penjelasan kepada saya selaku ketua parti.

S9: Mengapa penjelasan dibuat di Kampung Tebakang dan bukan di tempat lain?
Pertama, kerana ia merupakan ceramah pertama saya selepas penamaan calon, yakni saya dijemput untuk memberikan ceramah. Apabila saya dijemput untuk berceramah maka, saya akan sebut perkara yang sama di situ. Keduanya, ceramah itu dihadiri oleh pihak media.

S10: Sila beritahu mahkamah di manakah kerusi yang berlakunya pertindihan antara calon PAS dengan PKR?
Dun Panti di Johor, Dun Kota Damansara di Selangor, Dun Sungai Aceh di Pulau Pinang. Manakala, di Terengganu di Dun Seberang Takir, Dun Kota Putra dan Dun Bukit Besi.

S11: Adakah persoalan kandungan ceramah tersebut Datuk Seri ada merujuk kepada plaintif?
Tidak. Malah, saya tidak sebut nama sesiapa pun atau nama-nama tempat dan kerusi yang berlaku pertindihan tersebut. Nama calon pun saya tidak sebut.

S12: Adakah Datuk Seri mengenali plaintif sebelum plaintif memfailkan samannya kini kepada Datuk Seri?
Tidak. Saya tidak kenal dan tidak tahu langsung nama dia dan seingat saya, saya tidak pernah berjumpa dengan dia.

S13: Adakah Datuk Seri mempunyai sebarang permusuhan atau pertikaian dengan plaintif?
Dalam keadaan saya tidak kenal dia, tidak munasabah untuk saya mempunyai permusuhan atau pertikaian dengan plaintif.

S14: Adakah Datuk Seri mempunyai niat jahat terhadap plaintif semasa memberikan ceramah tersebut?
Tidak sama sekali. Saya tidak kenal dia (plaintif).

S15: Selain Kampung Tebakang di Alor Limbat. Adakah Datuk Seri memberikan ceramah yang khusus di tempat lain?
Hanya di Alor Limbat sahaja.

S16: Pada Ahli Majlis Presiden PR. Adakah ia juga memberi tanggungjawab kepada Datuk Seri untuk mempastikan bahawa setiap calon yang mewakili dalam parti-parti PR merupakan calon-calon yang berintegriti dan tidak dipertikaikan?
Ya.

S17: Adakah ini bermakna Datuk Seri selaku Presiden PAS berhak menentukan calon daripada parti-parti dalam Pakatan Rakyat?
Tidak. Kerana (integriti) ini ditentukan oleh parti masing-masing. Kami daripada Ahli Majlis Pakatan Rakyat hanya bertanggungjawab menjelaskan kriteria umum yang mesti dimiliki oleh calon Pakatan Rakyat.

S18: Berhubung dengan tindakan saman yang dikaitkan dengan Datuk Seri. Adakah Datuk Seri menerima sebarang surat tuntutan daripada pihak lain yang berkaitan dengan ceramah Datuk Seri sampaikan di Kampung Tebakang tersebut?
Ada daripada Encik Badrul Hisham Syaharin pada 8 Ogos 2014.

S19: Siapa yang menghantar surat tuntutan tersebut kepada Datuk Seri bagi pihak Encik Badrul Hisham?
Surat tuntutan itu dihantar oleh peguam Tetuan Vasudevan A & Co.

S20: Boleh Datuk Seri maklumkan kepada mahkamah siapa Encik Badrul Hisham ini?
Beliau adalah calon daripada PKR bagi Dun N21 Sungai Aceh Pulau Pinang pada Pilihan Raya Rmum ke-13.

S21: Apa yang terpenting daripada kandungan surat tuntutan tersebut?
Beliau mendakwa ucapan saya mengenai pil kuda di Kampung Tebakang merujuk kepada beliau.

S22: Adakah benar seperti yang didakwa oleh kandungan surat itu?
Tidak benar seperti yang saya katakan sebelum ini ucapan saya itu bersifat umum dan tidak ditujukan kepada sesiapa. –HARAKAHDAILY 29/10/2014

No comments:

Post a Comment