Wednesday, October 29, 2014

Kes liwat: Petugas media dilempar telur oleh penyokong Anwar

JURUGAMBAR The New Straits Times Press, Mohamad Shahril Badri Saali dibaling telur oleh penyokong Anwar ketika provokasi membabitkan kumpulan itu dengan polis berlaku di pekarangan Istana Kehakiman, Putrajaya petang ini.
RABU, 29 OKTOBER 2014 @ 3:35 PM
 PUTRAJAYA: Seorang jurugambar media yang membuat liputan rayuan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim di pekarangan Istana Kehakiman di sini, dibaling telur.
Kejadian itu berlaku kira-kira jam 2.50 petang tadi dipercayai dilakukan segelintir penyokong Anwar ketika insiden provokasi terjadi antara kumpulan berkenaan dengan anggota keselamatan.
Terdahulu, penyokong berkenaan menggesa pihak polis supaya membuka penghadang yang dipasang di sekitar Istana Kehakiman bagi membolehkan mereka memasuki sebahagian kawasan pekarangan bangunan berkenaan.
Mereka juga menggunakan alasan mahu berteduh dan mengelak daripada hujan sekali gus memaksa pihak polis membuka sebahagian penghadang besi itu bagi memberi laluan kumpulan berkenaan berteduh di bawah khemah berbumbung yang dipasang berhampiran lokasi terbabit.
Khemah berbumbung itu dipasang di sepanjang laluan hadapan bangunan Istana Kehakiman untuk program yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini.
Sementara itu, ceramah oleh pemimpin pakatan pembangkang di kawasan berkenaan masih diteruskan.
Antara yang menyampaikan ucapan, bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail.

No comments:

Post a Comment