MEXICO CITY 5 Nov. – Bekas datuk bandar Iguala, yang kini hidup dalam pelarian, Jose Luis Abarca dan isterinya, Maria de los Angeles Penida, ditahan polis di ibu negara ini selepas mereka dipercayai terlibat dalam kes kehilangan 43 pelajar pada hujung September lalu.
Jurucakap polis Persekutuan, Jose Ramon Salinas dalam kenyataannya berkata, Penida dipercayai merupakan ‘dalang’ kegiatan jenayah di kota ini dan bertanggungjawab atas kehilangan semua pelajar berkenaan.
Menurut laporan portal Daily Beast, Penida mengarahkan pihak polis menahan 43 pelajar itu yang didakwa mahu mengganggu satu majlis yang dihadirinya dan menyerahkan kesemua mangsa kepada pembunuh upahan.
Ketika kejadian itu, polis yang dikawal oleh Penida turut melepaskan tembakan ke arah bas yang membawa pelajar berkenaan apabila menghampiri kawasan majlis suaminya, menyebabkan beberapa orang terbunuh.
Seramai 43 mangsa yang terselamat kemudian ditahan dan dibawa kepada kumpulan kartel Guerreros Unidos yang terkenal dengan aktiviti pengedaran dadah dan pembunuhan.
Selain Abarca dan Penida, 56 orang lagi individu termasuk sejumlah anggota polis Iguala dan pekan berhampiran, Cocula serta ketua kartel Guerreros Unidos, ditahan untuk siasatan lanjut.
Kerajaan Mexico masih berusaha mencari kesemua mangsa, dan pakar forensik setakat ini menemukan 11 kubur yang mengandungi 38 mayat di barat daya Iguala, lokasi kehilangan pelajar berkenaan.
Bagaimanapun, tiada pengesahan menunjukkan mayat terbabit merupakan 43 pelajar yang hilang pada 26 September lalu.
No comments:
Post a Comment