Stesen televisyen tempatan melaporkan, Parti Republikan memenangi tujuh kerusi tambahan termasuk di North Carolina dan Iowa, membolehkan parti itu memenangi 52 daripada 100 kerusi perwakilan Dewan Senat.
Parti Demokrat ketika ini menguasai 45 kerusi dalam Dewan Senat.
Parti Republikan turut merampas kerusi Colorado, Montana, South Dakota dan West Virginia.
Parti itu sebelum ini perlu memenangi enam kerusi untuk kembali menguasai Dewan Senat.
Hanya satu pertiga daripada keseluruhan kerusi Senat dipertandingkan dalam pilihan raya umum itu.
Parti Republikan juga dilihat mengukuhkan kedudukan mereka di Dewan Perwakilan dan apabila Kongres baharu bersidang pada Januari ini, parti itu buat pertama kali akan menguasai kedua-dua dewan tertinggi negara ini sejak pilihan raya umum 2006.
Stesen televisyen CBS News meramalkan Parti Republikan akan menguasai 245 daripada 435 kerusi Dewan Perwakilan, manakala stesen televisyen NBC, pula melaporkan parti itu akan memperolehi 242 kerusi.
Keadaan itu dijangka akan menyukarkan Obama meneruskan pentadbiran bagi tempoh dua tahun akhir penggal pentadbirannya.
Pengundi dilihat menghukum Obama ekoran beberapa krisis sepanjang tahun ini termasuk gagal menangani masalah pengangguran, selain polisi tidak popularnya.
Dalam pada itu, kemenangan Parti Republikan akan memberi tekanan kepada parti itu untuk menunjukkan kemampuan mereka mentadbir negara ini selepas dikecam hebat setahun lalu kerana melumpuhkan kerajaan ekoran keengganan mereka menyokong pembentangan bajet. – AFP/Reuters