Thursday, November 6, 2014

Rayuan Terakhir Kes Liwat Anwar Masuk Hari Ketujuh


Diterbitkan: Khamis, 6 November 2014 9:07 AM

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini pada Khamis mendengar hujahan balas pasukan pembelaan berhubung rayuan terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dihukum penjara lima tahun kerana meliwat.
Empat wakil peguam Anwar akan diberi tanggungjawab untuk memulakan hujah balas pada prosiding yang masuk hari ketujuh hari ini.
Peguam Anwar, Sangeet Kaur Deo dijangka memulakan hujahan pihak pembelaan diikuti dengan Gobind Singh Deo dan kemudian Ramkarpal Singh.
Penggulungan hujah dijangka dibuat oleh ketua peguam bela Anwar, Datuk Seri Gopal Sri Ram.
Menurut Ramkarpal, pasukannya sudah bersedia untuk mematahkan semua hujah pihak pendakwaan yang berakhir pada Selasa lalu.
Pasukan pendakwaan mengambil masa selama tiga hari sejak Jumaat minggu lalu untuk membentangkan hujahan yang banyak menyentuh pelbagai isu khususnya membabitkan bukti saintifik.
Antara isu penting yang dibangkitkan ialah mengenai DNA Anwar yang diperoleh daripada lokap untuk dipadankan dengan profil 'Lelaki Y' yang ditemui pada tubuh pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Prosiding berlangsung dihadapan panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.
Pada 7 Mac, Mahkamah Rayuan menjatuhi hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar, 67, selepas didapati bersalah meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, 27, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Tuduhan itu, mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

No comments:

Post a Comment