Suruhanjaya berkenaan bersedia menawarkan bantuan kepada semua menteri Kabinet yang baru dilantik tentang prosedur laporan kekayaan, seandainya ada yang tidak jelas bagaimana proses tersebut perlu dilakukan.
“Seandainya terdapat menteri yang mahu berbincang dan memerlukan bantuan dalam proses melaporkan kekayaan mereka, kami di KPK bersedia membantu,” kata jurucakap KPK, Johan Budi di sini semalam.
Sehingga kini, kata Johan, terdapat beberapa menteri yang sudah merujuk kepada KPK tentang tata cara laporan kekayaan harta peribadi.
Kesemua penjawat awam tertinggi dalam pemerintahan Indonesia termasuk Jokowi dan Naib Presiden, Jusuf Kalla serta menteri-menteri diberi tempoh selama tiga bulan bermula tarikh pelantikan untuk melaporkan harta kekayaan mereka kepada KPK.
“Seandainya kesemua mereka tidak melaporkan kekayaan, kami akan mengirim surat kepada Presiden supaya beliau mengingatkan menteri-menteri Kabinetnya untuk berbuat demikian,” kata Johan.
Indonesia menetapkan keperluan Presiden, Naib Presiden, menteri Kabinet serta penjawat awam tertinggi melaporkan harta yang dimiliki berdasarkan Laporan Harta Kekayaan Penyelenggara Negara (LHKPN) di bawah Undang-Undang Nombor 28 Tahun 1999 mengenai penyelenggara negara yang bersih dan bebas daripada rasuah.
Jokowi dan Jusuf, sebelum ini sudah melaporkan kekayaan masing-masing semasa proses pencalonan kedua-duanya sebagai Presiden dan Naib Presiden Indonesia pada Pemilihan Umum Presiden (Pilpres) 2014 pada Julai lalu.
“Laporan itu juga akan menjadi kayu ukur terhadap kebertanggungjawapan seseorang pentadbir negara kerana rakyat berpeluang menilai jumlah kekayaan mereka sebelum dan selepas menjadi penjawat awam,” tegas Johan.
Selain anggota Kabinet, Johan berkata, sejumlah anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) juga sudah melaporkan kekayaan mereka kepada. – UTUSAN