Remaja tersebut, Kailey Oliver-Machado yang ditahan bersama-sama dua remaja perempuan lain yang tidak didedahkan identiti mereka, ketika berusia 15 tahun pada 2012, turut disabitkan kesalahan memukul dan memaksa mangsa supaya mengambil dadah sebelum dijadikan pelacur.
Mengikut undang-undang Kanada bagi jenayah juvenil, Kailey hanya berdepan hukuman maksimum tiga tahun penjara, tetapi pendakwa raya mahu tertuduh dikenakan hukuman yang lebih berat.
Seorang daripada pengikutnya sebelum ini dipenjara selama tiga tahun dan seorang lagi masih menunggu keputusan hakim.
Ketiga-tiga tertuduh menggunakan laman sosial untuk mengumpan remaja perempuan datang ke sebuah rumah di Ottawa sebelum memaksa mereka mengambil dadah sebelum dijadikan pelacur.
Malah mereka turut mengugut dan menggunakan kekerasan jika mangsa enggan menurut arahan mereka untuk menjalankan aktiviti pelacuran.
Menurut kenyataan mahkamah, seorang daripada tertuduh akan menghantar gambar rekrut baharu kepada pelanggan berpotensi menerusi telefon bimbit dan jika persetujuan dicapai, mangsa akan dihantar ke rumah pelanggan menaiki teksi untuk dilacurkan.
Polis berjaya mematahkan sindiket pelacuran tersebut pada Jun 2012 selepas seorang daripada mangsa mengadu kepada ibunya yang kemudiannya membuat laporan kepada pihak berkuasa. – AFP