Bukit Siguntang jadi kebanggaan yang hikayatnya diperturunkan dan diwaritakan dari satu generasi ke satu generasi. Selama tujuh keturunan lamanya. Selama tujuh angkatan itu, ramai yang datang dan pergi. Kebanyakan mereka adalah orang luar yang muncul mengaut hasil dan kemudian pergi membawa sejumlah keuntungan, meninggalkan tanah bukit yang kosong dan gondol.
“Bukit Siguntang sudah botak,” keluh Empuk seraya memandang saudaranya, Malini.
Dia melayangkan pandangan melalui tingkap pondok comel mereka. Angin dari bukit menampar manja wajahnya. Hatinya diserbu semacam keanehan, serasa-rasa angin itu sudah lain pusarannya. Angin yang sepatutnya nyaman dingin, terasa sudah lenyap nyamannya. Gerak angin tidak lagi membawa aroma segar, sebaliknya menghurung bau busuk lugai, barangkali bau bangkai binatang dari bukit.
“Adakah kita akan kekal di sini? Seperti janji kita pada moyang demi membangunkan tanah ini?” Malini merenung semula wajah sepupunya, melontarkan persoalan atau mungkin memberikan jawapan.
“Kalaulah moyang melihat segala yang berlaku sekarang!”
Dua bersaudara senyap sambil menghalakan pandangan keluar. Pandangan mereka merentasi pagi yang masih berselimut kabus. Kalau moyang berdua masih ada, tentu mereka terkejut. Setiap kejadian meninggalkan kesan tersendiri. Kedatangan tiga anak muda bersaudara ke Bukit Siguntang menukarkan huma di lereng bukit menjadi laba. Buah emas, daun tembaga dan batang suasa yang lumayan tidak terkata. Nila Pahlawan, Kerisyna Pandita dan Nila Utama jadi tetamu Wan Empuk dan Wan Malini, penghuni asal Bukit Siguntang. Dua wanita ini berkahwin dengan Nila Pahlawan dan Kerisyna Pandita, sementara adik bongsu mereka, Nila Utama ditabalkan sebagai raja yang membawa kepada gelaran Sang Sapurba.
Empuk dan Malini cucu cicit Wan Empuk dan Wan Malini yang selepas tujuh generasi hanya mewarisi bukit botak yang makin kehilangan baja dan kini terancam oleh orang asing pula. Namun begitu demi sebuah wasiat, Empuk dan Malini menerima tugasan ini. Demi moyang. Amanat moyang, mereka mesti bangunkan Bukit Siguntang!
Memang sesuatu yang nikmat dapat berpagi-pagi di huma. Seperti biasa huma menyambut kehadiran mereka dengan harum padi yang mula menguning. Tetapi ketara hasil tuaian semakin susut. Itu suatu masalah juga. Tahun ke tahun, kutipan kian kurang. Kalau dapat lepas makan sendiri, itu sudah dikira lumayan sejak beberapa tahun ini.
“Mungkin kita patut tukar tanaman,” Malini sudah beberapa kali mengutarakan cadangan. Empuk menekur pandangan ke arah batang padi. Merenung padi yang menguning. Terlihat kesan padi angin. Padi hampa memang menghampakan sesiapa jua yang bergelar petani.
“Ya, barangkali sudah sampai masa kita tukar tanaman.” Empuk membalas beriring keluhan dalam. Bakal terkuburkah huma moyang ini? Rawan mencanak naik dalam ladang hatinya.
“Aku terfikirkan tanaman bunga-bungaan. Mungkin sayur-sayuran juga. Bukit ini masih dingin, walaupun tidak sesejuk dahulu. Tanaman itu aku kira amat bersesuaian,” balas Malini, sedikit teruja.
Dari huma mereka, dua bersaudara bergerak melintasi huma lain. Ada keluhan yang terlantun keluar setiap kali menatap banyak petak sudah menjadi rang, bersemak samun tanpa diusahakan. Pasti jadi istana mewah tikus dan biawak, yang tentunya akan berleluasa mencari makanan lalu menjahamkan petak-petak milik jiran.
Di petak yang masih dikerjakan, padinya mengalami nasib sama. Lebih banyak padi hampa. Tanah kian kehilangan baja, makin tidak subur. Sungai dari puncak bukit pula tidak berdaya lagi mengairi. Sungai itu sudah kotor membawa bangkai, batang kayu dan sampah hanyut dalam alirannya yang pekat berlumpur. Ada pembangunan yang tidak terkawal di puncak sana.
“Kita beli petak kosong yang tidak diusahakan. Tanah lain juga, kalau tuan tanah mahu lepaskan, kita ambil. Kita pugar dan bajakan semula. Sekarang zaman teknologi, semuanya serba mungkin. Kita usahakan ladang bunga-bungaan dan sayur-sayuran untuk tujuan eksport,” suara Malini agak teruja.
“Tapi kalau mereka mahu sertai kita, apa salahnya? Kita akan sama-sama datang untung dan mengurangkan beban.” Empuk membuka jalan.
Mereka berpapasan dengan dua tiga orang tuan tanah yang sudah berusia. Ramah dua wanita itu mengumbarkan senyuman dan salam. Mereka bertegur sapa sebagai tanda hormat dan mesra, mewarisi kemesraaan penduduk asal Bukit Siguntang, Wan Empuk dan Wan Malini. Tujuh generasi berganti, tetapi moyang masih diingati sebagai orang yang membawa kemajuan pada Bukit Siguntang. Dan adakah kini terpindah pula amanah itu di atas bahu Empuk dan Malini sebagai generasi ketujuh bagi membangunkan semula bukit ini? Dengan cara mereka sendiri?
“Kadangkala aku lelah. Serasa-rasa aku mahu berputus asa,” pernah Empuk mengeluh.
“Jangan dulu. Kita ada perjuangan yang belum selesai. Kita mesti jaga warisan kita ini,” Malini akan cepat memujuk.
Atau kadangkala Malini yang menunjukkan tanda-tanda kecewa, lalu meluahkan kata-kata bernada kehampaan. “Aku rasa seperti mahu kembali ke bandar.”
“Dan tinggalkan semua ini? Tinggalkan perjuangan kita meneruskan legasi moyang? Mengabaikan wasiat moyang?” Empuk meningkah, sekali gus menaikkan semula semangat sepupu yang goyah.
Mereka harus saling bergandingan dan bahu-membahu, demikian moyang pernah berpesan. Amanat yang sama diturunkan dari satu generasi kepada satu generasi. Yang kini sangkut pada mereka. Dan pastinya akan mereka perturunkan kepada generasi mereka nanti.
“Pasti ada sebab mengapa kita dinamakan Empuk dan Malini oleh ibu bapa kita. Kau generasi Wan Empuk dan aku pula dari jurai keturunan Wan Malini. Kita memang telah dibentuk dalam acuan itu bagi mewarisi bukit ini sama seperti generasi sebelum kita,” itulah kata-kata yang sering Empuk dan Malini tuturkan saling berganti. Kata-kata penguat semangat ketika mereka lelah dan mahu rebah.
Pun begitu tidak mudah mewarisi bukit yang sudah botak dan hampir tiada apa-apa ini. Selama tujuh generasi, sudah banyak yang ditarah, dikikis, dikaut malah dicuri. Tidak mustahil lama-kelamaan bukit botak ini juga akan rata ditarah andai tidak dikawal.
“Mereka tawarkan harga tinggi. Mungkin ini musim terakhir tuk di sini. Tuk dan isteri akan pindah lepas musim menuai,” Tuk Aki memberitahu mereka ketika singgah di teratak dua bersaudara.
“Kami juga sudah rancang sesuatu bagi memajukan tanah. Tanah kita semua. Kalau tuk boleh tangguhkan dulu pada mereka, kita boleh rancang sama-sama,” Empuk separuh merayu.
Tuk Aki, antara petani yang paling lama bertahan di huma. Dia sudah bercucu dan mungkin bercicit. Kental semangatnya tetapi tentunya dia bakal dikalahkan juga oleh usia. Tenaganya sudah tidak bersisa lagi bagi dihabiskan di huma ini. Usianya barangkali hanya berbaki sejengkal bagi dibazirkan di tanah yang semakin kurang berhasil ini.
“Tuk faham tetapi tuk tak ada pewaris. Untung Wan Empuk dan Wan Malini, ada piat- piutnya yang mahu teruskan perjuangan. Tapi tuk tak ada sesiapa. Anak cucu nak bawa kami ke bandar. Memang kalau boleh, kami nak habiskan usia di sini walaupun keadaan dah tak damai macam dulu … tapi apa daya!” Sayu suara Tuk Aki.
Tuk Aki pulang. Sehari dua juga Empuk dan Malini berduka menyesali nasib huma yang bakal tergadai. Seperti diduga, hasil tuaian musim ini kurang memberangsangkan. Empuk dan Malini reda. Tidak mengapa, mungkin inilah masa menukarkan tanaman. Empuk sibuk merancang membuka ladang. Malini pula memanfaatkan kepakaran botaninya. Saudara mara di bandar dari kalangan penyelidik pertanian bersetuju membantu. Mereka sudah sepakat, yakin muafakat itu akan mengganjarkan berkat.
Tengah hari itu ada kenderaan pacuan empat roda berhenti di laman teratak comel mereka. Empuk menjenguk dan berubah air wajahnya mendadak. Malini tertanya-tanya.
“Cucu cicit keturunan naga sudah turun!” Empuk menghela nafas.
Ada suara memberi salam. Empuk dan Malini menyambut santun. Tetamu yang datang diraikan, walaupun tetamu itu mungkin sang naga yang membawa cenderamata api bahaya. Di perlak hadapan teratak comel, mereka berbincang.
“Kami tawarkan harga berpatutan. Seluruh bukit ini akan dibangunkan. Demi pembangunan dan kemajuan. Tuan Wang sudah ada perancangan strategik,” pegawai yang sedikit muda berkemeja dan berdasi berjenama tenang menerangkan, seraya menjeling lelaki di sebelahnya, lelaki bertubuh kecil, agak berusia yang mengenakan bush jacket kelabu.
“Pembangunan apa? Pembangunan yang tidak terkawal?” Malini meningkah. Empuk meletakkan tangan di atas kura tangan sepupunya. Dia tahu ada pertengkaran yang bakal bertunas dalam pagi yang masih berkabus ini.
“Berhuma ini aktiviti orang lama, cik puan. Sudah ketinggalan zaman. Jadi kami sudah sediakan suatu rancangan yang cukup bagus. Puncak bukit sana sedang diratakan untuk kami bangunkan taman tema dan hotel mewah. Jalan dari bawah sedang dirintis serentak dan akan siap tak lama lagi. Di lereng bukit ini, kami akan bina banglo dan kondominium. Dalam masa 10 tahun ini, cik puan akan lihat Bukit Siguntang akan menjadi bukit cahaya. Bukit bercahaya emas sama seperti legenda Wan Empuk Wan Malini.” Lelaki separa usia itu beria sedikit.
Keemasan
“Oh ya, khabarnya cik puan berdua dari keturunan Wan Empuk Wan Malini! Kami sangat berbesar hati kalau cik puan berdua dapat beri sokongan bagi mengembalikan zaman keemasan itu,” pegawai muda menyampuk cepat.
Lelaki separa usia itu spontan besar bercahaya matanya. “Oh, sangat bagus! Kami akan buat promosi besar-besaran. Oh, sungguh-sungguh bagus!”
“Siapa beri persetujuan? Kami tak pernah setuju apa-apa?” Malini meninggikan suara. Hati disimbah amarah mendengar celoparnya mulut dua lelaki itu. “Puncak bukit itu mungkin hak pemerintah. Terpulang pada mereka untuk beri pada sesiapa yang mereka mahu. Tapi tanah di lereng bukit ini masih bertuan. Kami tuan tanah. Kami takkan benarkan orang seperti encik buat sesuka hati atas tanah nenek moyang kami!”
Dua lelaki di hadapan mereka menegakkan tubuh yang senget. Wajah mereka berubah sedikit tetapi masih berusaha dilindungkan dengan senyuman bergula.
“Semua tuan huma di lereng bukit ini sudah bersetuju. Mereka mahukan kemajuan. Kebanyakan mereka lebih tua daripada cik puan berdua tapi mereka tak tolak kemajuan. Bagaimana cik puan yang masih muda belia ini pula yang mahu menolak kemajuan? Aneh!” Senyuman manis lelaki separuh usia itu sudah berubah sinis.
“Kemajuan takkan jadi kemajuan kalau menjahanamkan. Kami memang muda tapi
kami kenal pembangunan yang memajukan dan pembangunan yang menjahanamkan. Muktamad, perbincangan kita selesai di sini!” Empuk tangkas menutup pintu bicara. Senyuman dihadiahkan semanis mungkin untuk tetamu. Dan tetamu beredar dengan wajah masam kelat.
“Cucu cicit naga tak pernah kenyang!” Malini mencemuh mengiringi kenderaan tetamu yang beredar pergi. Dia mendongak dan melihat langit yang kelam berat menampung air.
Hujan turun lebat beberapa hari. Bukit ini jarang-jarang menerima hujan tetapi sekarang hujan tak kenal jadual lagi. Mujur padi sudah dituai, jadi kuranglah bimbang mereka. Mereka keluar meninjau sekitar pada pagi ketiga. Jalan-jalan becak dan berlumpur likat. Di sungai yang bermuara dari puncak bukit, airnya pekat keruh. Denai yang dibuka sebagai laluan keluar masuk kenderaan ke puncak, sudah berubah menjadi sungai lumpur yang berarus deras.
“Mujur denai ini jauh dari teratak dan huma kita. Kalau tidak, harus huma banjir lumpur dan rumah dihanyutkan arus. Oh, kesan pembangunan! Bagaimana pihak berkuasa boleh benarkan semua ini dipugar tanpa kawalan?” Ada kesal dalam suara Empuk.
“Mungkin mereka tak tahu. Lain yang dibuat tapi mungkin lain yang dilaporkan! Siapa yang tahu aktiviti manusia di bukit itu kecuali mereka yang ada di sana,” Malini meningkah.
Di huma, beberapa orang petani sedang mengetam saki-baki padi yang tidak sempat dituai. Air bergenang tetapi tidak seteruk yang disangka. Langit di atas mereka biru cemerlang. Dari situ pandangan mereka tertala ke puncak yang nampak botak merah sebahagiannya.
“Cik puan berdua ada dengar cerita?” Tuk Aki mendekati mereka.
“Dengar apa?”
“Waktu hujan lebat senja semalam, di denai turun naik kereta itulah. Ada ular besar menyerang beberapa buah kereta. Khabarnya salah satunya kereta tuan punya projek di puncak tu. Tak tahulah nasib mereka!”
“Ular besar?” Malini berdebar.
“Ular Saktimuna!” Empuk terketar.
“Bagaimana ular itu boleh tiba ke sini? Bukankah sudah mati dibunuh moyang Sang Sapurba dengan Corek Simandang Kini?”
“Mungkin cucu cicit keturunannya. Mereka pun seperti kita, mengembara mencari tempat terbaik untuk bermukim.” Empuk memandang Malini.
Dua bersaudara termenung panjang. Merenung bukit gondol botak, cuba membayangkan Tuan Wang dan pegawai mudanya yang mungkin dibelit Saktimuna. Adakah Saktimuna kembali untuk membalas dendam atau menyelamatkan mereka daripada terus tertindas? Mereka tidak tahu!