Sunday, November 23, 2014

ESSCOM buru dalang penyeludupan di ESSZONE


LAHAD DATU: Pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) giat memburu dalang aktiviti penyeludupan yang dipercayai menyumbang kepada jenayah rentas sempadan termasuk kes penculikan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).
Komander ESSCOM, Datuk Abdul Rashid Harun, berkata berdasarkan risikan keselamatan dan pertahanan, aktiviti penyeludupan dipercayai mempunyai hubung kait dengan kegiatan jenayah lain, terutama penculikan bagi wang tebusan.   
"Sebab itu, pihak ESSCOM meletakkan isu penyeludupan sebagai antara keutamaan dalam usaha untuk mempertahankan kedaulatan dan keselamatan rakyat Sabah.   
"Kalau kita dapat banteras penyeludupan, termasuk mengesan dalang penyeludupan ... kita percaya boleh mengurangkan kebarangkalian berlakunya jenayah penculikan, khususnya di ESSZONE," katanya.
Abdul Rashid berkata demikian ketika menyampaikan taklimat keselamatan sempena lawatan kerja Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Shukry Salleh dan rombongannya ke ibu pejabat ESSCOM di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah ICU (Sektor Penyelarasan Projek Khas), Datuk Ahmad Zaki Ansore Mohd Yussoff, Timbalan Ketua Pengarah ICU (Perancangan Strategik) Noor Rizan Thani, Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sabah, Datuk Matusin Sunsang, Pengarah Awam ESSCOM, Ruji Ubi, Timbalan Komander ESSCOM, Brig Jen Subari Tomo, Ketua Komponen Laut ESSCOM, Laksamana Pertama Maritim M Karunanithi dan Ketua Komponen Pusat Operasi ESSCOM, Brig Jen Datuk Tuan Roslan Tuan Ismail.   
Berhubung operasi bersepadu, Abdul Rashid berkata ESSCOM berjaya menyelaras 31 Ops Gasak sejak November tahun lepas yang menyaksikan 2,206 pendatang asing tanpa izin ditangkap kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.   
Beliau berkata daripada jumlah itu, 1,452 adalah lelaki dewasa, 369 perempuan dewasa, 171 kanak-kanak lelaki dan 215 kanak-kanak perempuan. 
Seramai 6,155 orang diperiksa sepanjang tempoh itu yang tertumpu di kawasan penempatan kampung air dan pusat-pusat peranginan, katanya sambil menambah Ops Gasak yang bertujuan membersihkan ESSZone daripada pendatang asing tanpa izin akan diperhebat dan diperluaskan.
Rombongan ICU itu turut melawat Kem Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA) Lahad Datu dan beberapa pos keselamatan, termasuk di Pulau Adal dan Mabul.   
ESSZONE merangkumi 10 daerah yang meliputi 1,733.7 kilometer dari Kudat ke Tawau.
Daerah terbabit ialah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, dan Tawau. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment