Sunday, November 23, 2014

Siap siaga hadapi gelombang kedua banjir Pantai Timur


BERNAMA | .
MARANG: Semua agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam keadaan bersiap siaga menghadapi gelombang kedua banjir yang diramalkan berlaku di Pantai Timur minggu depan, kata Timbalan Menterinya Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Beliau berkata bagi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sahaja telah bersedia menggerakkan seramai 11,800 pegawai dan anggotanya.

"Selain kerahan tenaga kita juga mempunyai aset yang lengkap seperti bot, lori dan pacuan empat roda bagi membantu mangsa," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Penjara Marang di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Penjara Datuk Zulkifli Omar dan Ketua Pengarah JPAM Datuk Zaitun Ab Samad.

Wan Junaidi berkata pihaknya juga akan mendapatkan bantuan anggota dari negeri lain yang tidak terjejas banjir sekiranya keadaan banjir di negeri-negeri di Pantai Timur bertambah buruk.

Banjir yang melanda beberapa daerah di Terengganu sejak Rabu lalu kini beransur surut dan setakat 4 petang ini hanya lapan pusat pemindahan dibuka menempatkan 1,521 mangsa banjir berbanding 2,741 orang pagi tadi.

Di Kelantan pula, hanya satu pusat pemindahan dibuka di SK Wakaf Raja di Pasir Puteh yang menempatkan 25 orang mangsa manakala dua pusat pemindahan di Kota Baharu telah ditutup dan 130 orang mangsa di dua pusat itu telah dibenarkan pulang sejak 2 petang tadi. -Bernama

No comments:

Post a Comment