Sunday, November 23, 2014

Jika harga minyak mentah global meningkat, bagaimana?


HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong berkata, kerajaan perlu merangka langkah yang akan diambil bagi meringankan beban rakyat sekiranya harga minyak mentah global kembali meningkat.
Menurutnya, harga minyak mentah global sememangnya sudah turun lebih murah daripada harga RON95 iaitu RM2.30 seliter dan diesel (RM2.20), laporRoketkini.
“Seperti yang disebut berulang kali, sejak 31 Oktober lalu rakyat telah pun seperti membayar ‘cukai minyak’. Maka kami mengalu-alukan, walaupun tetap berhati-hati, kemungkinannya turunnya harga minyak dan diesel.
“Kami menggesa kerajaan mendedahkan kaedah dan formula sistem ‘pengapungan terkawal’ – atau dipanggil ‘apungan kotor’ oleh pemain industri – yang akan digunakan untuk menjaga ketelusan,” kata Chin Tong dalam satu kenyataan sebagi mengulas pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek bahawa kerajaan akan memansuhkan subsidi bagi petrol RON95 dan diesel bermula 1 Desember ini.
Beliau yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP menggesa kerajaan memandang lebih jauh ke hadapan, dengan meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan awam yang cekap dan murah agar rakyat Malaysia tidak lagi bergantung kepada petroleum.
“Melihat kembali, kritikan Pakatan apabila kerajaan menaikkan harga minyak di saat harga minyak mentah global menurun Oktober lalu ternyata tepat. Kini kerajaan terpaksa ‘u-turn’ selepas kesannya mula terasa,” katanya lagi.
Beliau juga sekali lagi menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar membentangkan semakan semula Belanjawan 2015 kerana nilai subsidi dan perolehan hasil minyak jauh berubah daripada anggaran asal.
The Edge Weekly sebelum ini melaporkan, bagi setiap USD1 penurunan harga setong minyak mentah, kerajaan bakal kehilangan pendapatan kira-kira RM650 juta.

No comments:

Post a Comment