Menyedari kebaikan berkhatan, seorang lelaki Iban, Edward Reggie tidak teragak-agak mengambil ke­putusan mengkhatankan tiga anak lelakinya walaupun amalan itu tia­da dalam masyarakatnya.
Menurut Edward, berkhatan dalam kalangan masyarakat bukan Islam kini bukan lagi suatu perkara pelik setelah semakin ramai yang menyedari kebaikan amalan ter­sebut.
“Sebab itu, saya menghantar anak sulung saya berkhatan dua tahun lalu, diikuti anak kedua saya, Jesse Erico dalam program berkhatan beramai-ramai anjuran Pertubuhan Belia Kebangsaan Ber­satu Sarawak (Saberkas) Ca­wangan Satok Sabtu ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas pelancaran program itu di Masjid Darul Hana, Satok di sini semalam.
Yang turut hadir Pengerusi Saberkas Cawangan Satok, Mohd. Abdullah Saidel.
Edward berkata, dia mempunyai tiga anak lelaki termasuk Jesse Erico berusia 12 tahun dan seorang anak perempuan.
Katanya, selain anak sulung dan Jesse Erico, dia juga me­rancang untuk mengkhatankan seorang lagi anak lelakinya apabila sudah mencapai usia sesuai nanti.
Sementara itu, Mohd. Abdullah memberitahu, pihaknya berjaya menghimpunkan 24 orang kanak-kanak berusia dari 11 hingga 12 tahun untuk dikhatankan dalam program anjuran persatuan itu yang akan diadakan di Hospital Umum Sarawak Sabtu ini.
“Lebih manis apabila Jesse Erico yang bukan Islam turut menyertai program ini. Peserta merupakan murid daripada empat sekolah di sekitar bandar raya ini iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Jepang, SK Rakyat, SK Combined dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa Sungai Tengah.
“Program ini dianjurkan sebagai salah satu usaha kami untuk mem­bantu para ibu bapa terutama yang kurang berkemampuan untuk meng­khatankan anak mereka,” katanya.
Mohd. Abdullah memberitahu, ketika ini kos berkhatan bagi seorang kanak-kanak adalah antara RM200 dan RM250 tetapi melalui program itu, ibu bapa hanya perlu membayar RM35.