Paling tidak, boleh dikatakan kerana situasi masyarakat kita mentafsirkan pemahaman konsep jihad mereka secara melampau dan hanya melihat jihad ini dengan pe­perangan sahaja. Soalnya apakah yang dimaksudkan dengan jihad dan bagaimanakah jihad itu boleh dilaksanakan dalam realiti hari ini?
Perkataan jihad berasal daripada bahasa Arab, ia merupakan kata masdar (kata terbitan) yang diambil daripada kata perbuatan jahada, yujahidu, mujahadah dan jihadan. Antara pengertian jihad menurut bahasa ialah:
- berusaha bersungguh-sungguh
kesungguhan dan kepenatan
mencurahkan segala usaha me­ngikut kemampuan dan keupayaan.
​tabah dan sabar menghada­pi cabaran dan kesulitan serta keazam­an untuk terus berjuang.
Ringkasan perkataan jihad (me­nurut bahasa) ini menunjukkan bentuk kesungguhan, kegigihan, kesulitan, kepenatan, kebangkitan, ketabahan dan perjuangan. Sementara itu, pengertian jihad menurut tasawwur Islam bukanlah terbatas kepada peperangan atau pertarung­an senjata sahaja.
Menurut tasawwur Islam, jihad tidak boleh disamakan dengan­ ghazwah, harb dan qital yang membawa maksud peperangan kerana perkataan jihad mempunyai pengertian yang lebih umum daripada ketiga-tiga perkataan itu. Ghaz­wah, harb dan qital ini membawa erti peperangan, manakala jihad membawa erti antaranya bersungguh-sungguh membela agama dan menjunjung tinggi kepen­tingan agama.
Untuk mengetahui lebih lanjut pengertian jihad sebagaimana yang terkandung dalam al-Quran, kita dapati perkataan jihad sering dikaitkan dengan menggunakan perkataan fisabilillah yang membawa pengertian perjuangan dalam menegakkan agama Allah SWT. Sebagaimana contohnya, firman Allah SWT yang bermaksud : Mereka berjihad dengan bersungguh-sungguh di jalan Allah (dalam melaksanakan ajaran Allah SWT atau agama Islam) dan mereka tidak takut kepada ce­laan orang yang suka mencela. (Surah al-Maaidah : 54) dan firman-Nya lagi yang bermaksud: “Sesungguh­nya orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah dan orang yang memberikan tempat kediaman dan perlindungan serta pertolongan (kepada Muhajirin) mereka itu satu sama lain melin­dungi.” (Surah al-Anfal : 71)
Mengikut huraian yang terkan­dung di dalam al-Quran ini, perkataan fisabilillah mengandungi pengertian yang luas antaranya jalan kebaikan dan kebenaran, jalan untuk menegakkan agama Allah, menghapuskan kezaliman dan kefasikan serta kemaksiatan dan menegakkan keadilan dan ke­sejahteraan.
Menurut Sheikh Rasyid Ridha dalam Tafsir al-Manar, perkataan fisabilillah ini ialah jalan bagi mendapat keredaan Allah SWT, jalan untuk memelihara agama-Nya dan memelihara hamba-hamba-Nya. Manakala al-Sheikh Muhammad Shaltut (bekas Sheikh al-Azhar) dalam kitab tafsir beliau iaitu Tafsir al-Quran al-Karim, beliau menulis: “Secara umumnya perkataan fisabilillah ini bererti menegakkan kebenaran, menimbulkan kebaikan dan kebajikan sebagai pengganti kepada kejahatan dan kerosakan, meletakkan keadilan dan kasih sayang sebagai pengganti kepada kezaliman dan kekerasan.”
Apabila ditinjau pengertian jihad yang terdapat dalam al-Sunnah pula, maka ia juga mempunyai pengertian yang luas. Jihad bukan hanya bererti berperang sahaja, tetapi ia bererti setiap usaha ikhlas yang bertujuan untuk menegakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran juga dianggap sebagai jihad.
Sebagaimana yang disebut da­lam sebuah hadis yang diriwa­yatkan oleh Abu Zar al-Ghifaari RA yang bermaksud: “Telah berkata Saidina Abu Bakar RA: Wahai Rasulullah SAW, adakah jihad selain memerangi orang musyrik? Rasulullah SAW menjawab: “Benar, wahai Abu Bakar, sesungguhnya bagi Allah SWT ada mujahid di bumi yang lebih afdal daripada syuhada”. Mereka hidup mendapat rezeki, menjalani kehidupan di bumi ini. Allah SWT berbangga dengan mereka kepada para malaikat di langit dan syurga dihiasi untuk mereka seperti berhiasnya Ummu Salamah untuk Rasulullah SAW. Maka Saidina Abu Bakar bertanya lagi: “Siapakah mereka itu?” Rasulullah SAW menjawab: “Mereka ialah orang yang menyuruh kepada kebaikan dan melarang kemungkaran dan orang yang bercinta kerana Allah SWT serta benci kerana Allah SWT.”
Dalam hadis tersebut jelas me­nunjukkan bahawa perkataan jihad bukanlah hanya memerangi orang musyrik yang memusuhi orang Islam tetapi merangkumi apa yang diistilahkan sekarang dengan amar makruf dan nahi mungkar. Selain itu terdapat riwayat Ibn Umar RA yang bermaksud: Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW lalu me­minta izin untuk berjihad. Rasulullah SAW bertanya kepadanya: “Adakah ibu bapa kamu masih hidup?” Beliau menjawab: Benar, kedua-duanya masih hidup. Lalu Rasulullah SAW bersabda kepadanya: “Berjihadlah kepada mereka berdua.”
Begitu juga sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis riwayat Ahmad dan al-Bukhari daripada Saidatina Aisyah RA yang bermaksud: Saya pernah bertanya Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah! Adakah diwajibkan ke atas wanita berjihad?” Baginda SAW menjawab: “Jihad yang tiada peperangan di dalamnya iaitu haji dan umrah.”
Berdasarkan kepada penjelasan yang dibuat oleh Rasulullah SAW di dalam hadis-hadis tersebut, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa menurut pandangan al-Sunnah, jihad adalah segala usaha menyebarkan kebaikan dan melarang kemungkaran, berbuat baik kepada kedua ibu bapa, mengerjakan ibadah haji dan umrah serta perbuat­an-perbuatan lain seperti yang dianjurkan oleh Islam.
Huraian al-Quran dan al-Sunnah jelas menunjukkan bahawa jihad bukan hanya peperangan, akan tetapi lebih daripada itu. Ia merangkumi setiap perbuatan yang baik adalah jihad, setiap usa­ha untuk membanteras kemungkaran juga adalah jihad. Apa yang pasti adalah Islam sememangnya agama yang benci keganasan dan peperangan.
Pergolakan terbaru berlaku di mana IS menyiarkan rakaman vi­deo pada 16 November 2014 me­nunjukkan mereka telah memancung kepala Peter Kassig, seorang pekerja bantuan AS yang ditawan semasa menghantar bantuan bekalan di Syria tahun lepas. Video IS itu juga menunjukkan sekurang-kurangnya 18 orang yang dikatakan anggota tentera Syria dipancung serentak. Persoalannya adakah perjuangan yang melibatkan pertum­pahan darah sesama Islam dianggap jihad yang suci? Apakah benar agama Islam yang mulia ini membenarkan perbuatan yang berbentuk keganasan dan kemudaratan demi mencapai matlamat tertentu.
Persoalan yang berbangkit sekarang ialah adakah mengangkat senjata itu satu-satunya jalan dakwah yang ada, atau masih ada jalan-jalan lain? Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan kali ke-106 pada 23 Oktober lalu merumuskan pe­nyertaan umat Islam negara ini dalam perjuangan bersenjata militan IS di atas nama jihad, adalah bertentang­an dengan syarak dan kematian dialami bukannya mati syahid.
Waktu aman dan sejahtera yang ada di negara kita hendaklah diisi dengan berjihad untuk membangunkan ummah, memerangi kemiskinan, kejahilan dan penya­kit serta membanteras penyakit-penyakit sosial. Kewajipan dan tanggungjawab juga terletak di bahu kita semua bagi menjaga ke­sejahteraan negara daripada kekacauan dan huru-hara serta mempertahankan kesucian Islam daripada pihak yang cuba untuk menyelewengkannya daripada tuntutan sebenar.
Kefahaman bahawa Islam ber­kembang melalui perang adalah tidak benar sama sekali. Jika benar fahaman itu, nescaya tiada lagi bumi yang boleh dihuni manusia, bahkan peperangan dan pembunuh­an sentiasa berlaku ke­rana ada orang yang ingin beribadah kepada Allah dengan membunuh orang yang dianggapnya musuh Islam dan musuh Allah.
Jika membunuh itu suatu pencapaian yang mempunyai nilai tinggi di sisi Allah SWT, nescaya Nabi Muhammad SAW dan nabi-nabi terdahulu merupakan orang yang paling banyak membunuh mangsa, tetapi hakikatnya tiada nyawa terkorban di tangan para nabi. Sesungguh­nya, dakwah Islam hanya untuk disampai kepada sasarannya, bukan untuk dipaksa supaya diterima. Akidah Islam tidak pernah disebar melalui paksaan, sama ada kepada umat nabi-nabi terdahulu atau pun umat Nabi Muhammad SAW.
PENULIS ialah Penasihat Agama kepada Perdana Menteri