Askar Tunisia yang lengkap bersenjata mengawal kerja-kerja menurunkan peti undi dari sebuah trak tentera di pusat pengundian di Beja, kelmarin sebagai persiapan pilihan raya Presiden negara itu, semalam. – AFP
TUNIS 23 Nov. – Rakyat Tunisia, hari ini keluar mengundi buat pertama kali pada pilihan raya Presiden sejak revolusi 2011 yang mencetuskan fenomena Arab Spring, kebangkitan penduduk Arab di beberapa negara, sekali gus menyaksikan proses peralihan kuasa kepada sistem demokrasi.
Sebanyak 27 calon bertanding termasuk bekas Perdana Menteri, Beji Caid Essebsi, 87, yang menjadi calon pilihan selepas mengemudi partinya, Parti Nidaa Tounes untuk memenangi pilihan raya Parlimen pada bulan lalu.
Selain Beji, Presiden Moncef Marzouki turut bertanding mempertahankan jawatannya.
Beberapa orang menteri yang pernah berkhidmat dengan bekas diktator, Zine El Abidine Ben Ali, ahli politik berhaluan kiri, Hamma Hammami, ahli perniagaan terkemuka, Slim Riahi dan satu-satunya calon wanita yang juga seorang hakim, Kalthoum Kannou turut bertanding jawatan itu.
Undian pusingan penentuan akan diadakan pada hujung bulan depan sekiranya tiada calon yang mendapat kemenangan majoriti pada pilihan raya itu, yang bertujuan menghalang kepimpinan kuku besi seperti zaman pemerintahan Ben Ali.
Sementara itu, beribu-ribu anggota polis dan askar dikerah menjaga keselamatan kira-kira 5.3 juta pengundi ekoran kebimbangan kumpulan militan melancarkan keganasan sepanjang proses pengundian.
Proses pengundian di 50 pusat mengundi yang terletak di sempadan Algeria, yang menjadi lokasi militan bergerak aktif, dihadkan kepada lima jam sahaja, manakala proses pengundian di lokasi lain ditutup pada pukul 5 petang (pukul 11 malam hari ini waktu Malaysia).
No comments:
Post a Comment