Monday, November 24, 2014

Bangkai pesawat MH17 tiba di Kharkov, Ukraine

KUALA LUMPUR: Beberapa bahagian bangkai pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17, yang terlalu besar untuk dibawa dengan kereta api, tiba di Kharkov, Ukraine dengan trak semalam.
Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) dalam kenyataan melalui laman webnyawww.onderzoeksraad.nl berkata serpihan lain yang dikeluarkan dari tapak nahas itu kini dalam perjalanan ke Kharkov, Ukraine, lebih 300 kilometer dari Torez, dengan kereta api.
Kereta api 12 gerabak itu berlepas dari Torez pada pagi ini.
"Apabila bangkai pesawat tiba di Kharkov, pengangkutan ke Belanda akan disediakan. Pada ketika ini, tidak dapat dipastikan bila dan bagaimana usaha mengangkutnya akan dijalankan," katanya.
Pada 17 Julai lepas, penerbangan MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan membawa 298 penumpang dan anak kapal.
Terdapat 193 penumpang warga Belanda dan 44 rakyat Malaysia dalam pesawat itu. Kesemua mangsa warga Malaysia telah dikenal pasti.
DSB berkata usaha mengeluarkan bangkai pesawat itu dimulakan pada 16 November dan menemui seberapa serpihan di tapak nahas untuk tujuan siasatan.
"Walaupun berdepan kerumitan dan situasi keselamatan setempat, pasukan itu dapat meneruskan usaha seperti dirancang di bawah bimbingan Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE)," kata kenyataan itu.
Ia berkata pasukan itu disokong oleh perkhidmatan tempatan dan usaha itu dilaksanakan melalui kerjasama yang baik.
Walaupun operasi mengeluarkan bangkai pesawat MH17 sudah selesai, DSB berkata masih ada serpihan di tapak nahas dan perkhidmatan tempatan akan mengeluarkannya dari kawasan nahas seperti dipersetujui oleh pasukan terbabit. - BERNAMA
BEBERAPA bahagian bangkai pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17, yang terlalu besar untuk dibawa dengan kereta api, tiba di Kharkov, Ukraine. - Foto EPA
BEBERAPA bahagian bangkai pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17, yang terlalu besar untuk dibawa dengan kereta api, tiba di Kharkov, Ukraine. - Foto EPA
BANGKAI pesawat MH17 dipindahkan ke dalam gerabak kereta api. - Foto REUTRES

No comments:

Post a Comment