KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia telah menolak petisyen untuk memansuhkan Akta Hasutan yang diserahkan kepada Parlimen oleh kerana alasan teknikal.
Beliau memaklumkan Dewan Rakyat hari ini bahawa ada antara 3,005 petisyen tidak menurunkan tandatangan atau cap jari, selain ada sebahagiannya tidak mencatatkan nombor kad pengenalan lengkap.
Beliau juga memberitahu sidang dewan bahawa isu sama ada Akta itu perlu dimansuhkan atau tidak sedang dalam pertimbangan pihak kerajaan dan petisyen itu hanya melibatkan isu yang “terlepas pandang” oleh kerajaan.
“Pendirian kerajaan telah dijelaskan dan isu ini telah dijawab,” katanya.
Ahli Parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad mencadangkan supaya petisyen itu yang menggesa Akta tersebut dimansuhkan serta merta sekurang-kurangnya dibenarkan untuk dibentangkan dalam Dewan, tetapi Pandikar menolaknya.
Sementara itu, di luar bangunan Parlimen, kira-kira 30 peserta demonstrasi Gerakan Hapuskan Akta Hasutan (GHAH) dihalang masuk oleh pegawai keselamatan bagi menyerahkan petisyen membantah akta yang diguna pakai sejak zaman penjajah itu dan setakat ini telah melalui lima pindaan dengan pindaan kali terakhir pada 1975.
Ekoran itu, berlaku pertengkaran antara peserta dengan pihak keselamatan Parlimen kerana keengganan memberi pas masuk.
Kumpulan terbabit yang mula berkumpul di Padang Merbok tiba di luar Parlimen kira-kira jam 11 pagi.
Peguam, Latheefa Koya yang turut bersama dengan GHAH bagi menghantar petisyen tersebut dilihat antara yang lantang mendesak peserta protes masuk ke Parlimen.
“Kenapa kami tidak boleh masuk, ini adalah Parlimen dan yang masuk adalah rakyat, tetapi kenapa tidak dibenarkan?” lapor portal berita The Malaysian Insiders (TMI).
“Kami bukan mahu buat rusuhan, hanya hantar petisyen kepada ahli Parlimen, hanya kerana etika pakaian kamu nak suruh rakyat biasa memakai suit, kalau nelayan, petani macam mana adakah mereka mampu?” soal Latheefa lagi.
Pertengkaran mulut berlangsung hampir sejam sebelum pegawal keselamatan beralah membenarkan kumpulan protes itu memasuki Parlimen.
Petisyen itu didakwa mengandungi 3,005 tandatangan rakyat bagi menyeru Parlimen mengkaji semula penyalahgunaan Akta Hasutan seterusnya memansuhkan undang-undang itu diserahkan kepada ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR).
Dalam petisyen tersebut turut menyenaraikan kesemua ahli politik, aktivis badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahasiswa, pensyarah antaranya pensyarah undang-undang Universiti Malaya Profesor Madya Dr Azmi Sharom juga termasuk Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Abdullah Zaik Abdul Rahman.
Sementara itu, pada sidang medianya GHAH menyatakan kekecewaan atas penolakan speaker terhadap petisyen tersebut.
Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Eric Paulsen menyifatkan penolakan petisyen tersebut atas alasan teknikal sebagai satu yang amat bersejarah dan tidak pernah berlaku mana-mana Parlimen di dunia.
“Hakikatnya mereka terus membiarkan suara rakyat (petisyen) begitu sahaja atas alasan maklumat, ia amat tidak boleh diterima dan keputusan yang amat berat sebelah,” katanya.
Manakala Pengarah Eksekutif Suaram Yap Swee Seng berkata, meskipun petisyen tersebut ditolak ia tidak akan menghalang gerakan itu untuk meneruskan perjuangan menggesa akta tersebut dimansuhkan.
Beliau pada masa sama mengutuk insiden sekatan peserta GHAH apabila menegaskan rakyat mempunyai hak untuk masuk ke Parlimen.
“Ia tidak boleh diterima dalam demokrasi, Parlimen sepatutnya berdebat mengenai isu rakyat.
“Dan kita amat kecewa apabila dihalang kerana etika berpakaian, ini menentang hak asasi rakyat, dan lingkungan kerja mereka petani, nelayan mana mampu untuk membeli suit pakaian mahal,” kata Yap.
Paulsen kemudiannya berkata, sudah tiba masanya untuk sistem Parlimen dirombak.
“Sistem Parlimen perlu dirombak, ia Parlimen yang paling tidak mesra dan apabila Parlimen sendiri tidak benarkan rakyat biasa masuk adalah mencurigakan, kenapa mereka terlaku takut ada sesuatu tidak kena,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pertama kali mengumumkan rancangan Putrajaya untuk memansuhkan akta tersebut pada Jun 2012, bagi digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional.
No comments:
Post a Comment