Monday, November 24, 2014

Putin mungkin bertanding lagi

Moscow: Presiden Russia, Vladimir Putin menimbang untuk bertanding bagi penggal keempat di Kremlin pada 2018, tindakan yang bakal melihatnya terus berkuasa sehingga 2024.
“Ya, kemungkinan itu wujud. Namun sama ada ia berlaku atau tidak, saya tidak tahu buat masa ini.
“Walaupun perlembagaan membolehkan saya bertanding satu lagi penggal, ia tidak bermakna saya akan berbuat demikian. Saya perlu melihat pada keadaan termasuk gerak hati dan ‘mood’ saya sendiri.
“Perlukah kita bercerita mengenainya sekarang? 2014 pun belum tamat lagi, namun kamu membangkitkan kemungkinan yang berlaku pada 2018,” katanya.
Dalam temu bual yang disiarkan agensi berita TASS, Putin bagaimanapun menolak kemungkinan dia menjadi presiden untuk selama-lamanya.
“Tidak, itu tidak bagus untuk negara ini. Ia hanya membawa kesusahan dan saya tidak memerlukannya,” katanya.
Mengikut perlembagaan Russia, Putin boleh memegang jawatannya untuk maksimum dua penggal berturut-turut.
Selepas tamat penggal kedua berturut-turut pada 2008, Putin berjaya mengelak had ditetapkan perlembagaan itu apabila menukar jawatannya dengan perdana menteri Dmitry Medvedev selama satu penggal sebelum kembali menjadi presiden.
Memandangkan Putin kini berusia 62 tahun, pada 2024 dia akan berusia 72 tahun.
Pemimpin terkemuka Soviet Union, Stalin dan Leonid Brezhnev menjadi presiden sehingga masing-masing meninggal dunia pada usia 74 dan 75 tahun.
Sebelum ini, ketika disoal sama ada dia akan bertanding untuk penggal keempat, Putin dilaporkan berkata: “Itu tidak mustahil.” - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 November 2014 @ 5:18 AM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/11327#sthash.dXda30HU.dpuf

No comments:

Post a Comment