Monday, November 24, 2014

China nafi bina 'pulau tiruan' di Kepulauan Spratly

BEIJING: Beijing hari ini menyangkal dakwaan Amerika Syarikat (AS) bahawa negara itu sedang membina sebuah pulau tiruan sebesar landasan penerbangan di Kepulauan Spratly dan menyifatkannya sebagai kenyataan tidak bertanggungjawab.
Kenyataan Kementerian Luar China itu dikeluarkan selepas jurucakap tentera AS menggesa Beijing supaya menghentikan projek tambakan besar di kawasan kepulauan berkenaan.
Rangkaian kepulauan itu yang digelar oleh China sebagai 'Nansha', juga dituntut sebahagian atau sepenuhnya oleh Filipina, Malaysia, Vietnam, Taiwan dan Brunei.
"Pihak luar tidak ada hak untuk membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab," kata jurucakap Kementerian Luar, Hua Chunying.
Katanya, aktiviti pembinaan yang dilakukan oleh China adalah untuk menambah baik keadaan bagi kakitangannya yang bekerja dan tinggal di pulau berkenaan.
Satu laporan minggu lalu oleh 'IHS Jane's Defence' mendedahkan maklumat baharu mengenai projek penambakan China di 'Fiery Cross Reef', yang dikenali sebagai 'Yongshu' dalam bahasa Cina. - AFP

No comments:

Post a Comment