Monday, November 24, 2014

Selangor bentang bajet RM2.42 bilion, jumlah tertinggi dalam sejarah

azmin ali mb selangor
Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali semasa pembentangan Bajet 2015 di persidangan Dewan Undangan Negeri di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Raiezal

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali menggunakan lebih 90% daripada jumlah RM3.31 bilion rizab negeri bagi Bajet Selangor 2015, bajet tebesar dalam sejarah negeri tersebut.

Azmin semasa pembentangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor mencadangkan sejumlah RM2.422 bilion untuk bajet kali ini, 53.19% untuk perbelanjaan mengurus dan 56.81% daripadanya diperuntukkan untuk pembangunan.
Namun pembentangan itu menunjukkan bajet defisit apabila kutipan hasil negeri tahun 2015 dianggarkan hanya ‎RM1.97 bilion sahaja, berbanding perbelanjaan RM2.42 bilion.
Pentadbiran menteri besar terdahulu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semasa Bajet 2014 hanya memperuntukkan RM1.8 bilion dan Bajet 2013 sebanyak RM1.63 bilion.
“Kumpulan Wang Disatukan pada 19 November 2014 berjumlah RM3.31 bilion. Jumlah tersebut terdiri daripada aset berbentuk wang tunai RM108.68 juta dan pelaburan sejumlah RM3.2 bilion.
“Kumpulan Wang Disatukan meningkat sebanyak RM400.8 juta kepada RM3.307 bilion iaitu 13.78% berbanding RM2.907 bilion pada 2013,” kata Azmin di DUN Selangor hari ini.
Bertemakan “Pembangunan Berkualiti, Rakyat Dipeduli”, Azmin berkata bajet itu bagi melaksanakan semua rancangan pembangunan kerajaan khususnya program kesejahteraan rakyat.
“Bagi peruntukan mengurus, RM 385 juta adalah bagi emolumen, RM443.5 juta bagi perkhidmatan dan bekalan, dan RM 17.6 juta diperuntukkan kepada pembelian aset.
“Sejumlah RM 426.5 juta pula disediakan untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap dan RM 16 juta untuk perbelanjaan lain,” katanya.
Bagi peruntukan pembangunan pula, perbelanjaan tertinggi RM277.3 juta digunakan bagi program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), RM106.6 juta bagi perkhidmatan masyarakat, pembangunan luar bandar, sektor perbandaran dan pembangunan usahawan.
Manakala RM100.2 juta diperuntukkan bagi pembangunan sosial termasuk pendidikan, perumahan, pembangunan belia dan sukan dan pembangunan insan.
“Sejumlah RM48.9 juta akan diperuntukkan bagi pembangunan khas negeri dan RM44.4 juta bagi pengambilan balik tanah.
“Bagi pentadbiran am, sejumlah RM33.8 juta diperuntukkan manakala bagi pembangunan adat Melayu dan warisan serta pelancongan sejumlah RM9.25 juta disediakan,” katanya.
Azmin turut membentangkan enam strategi Bajet 2015, iaitu membesarkan lapisan kelas menengah, menjana pertumbuhan berkualiti, memberdaya ekonomi hawa dan generasi
muda.
Selain itu, pembangunan kejiranan hijau, menjana industri budaya dan intelektual, serta menyemarak ekonomi desa turut digunakan sebagai strategi.‎ TMI

No comments:

Post a Comment