01- Fenomena kerang di pantai Rusila dan sekitarnya mengejutkan banyak pihak. Oleh kerana ianya jarang berlaku ditambah lagi dengan kuantiti yang banyak dan kualiti yang jauh lebih elok daripada kerang biasa maka ia telah menarik ramai pengunjung ke pantai Rusila sehingga menyebabkan kesesakan lalulintas.
02- Saya ingin mengambil peluang ini untuk memberikan beberapa peringatan bersama kepada pengunjung-pengunjung:
Pertama: Sebagai orang Islam kita hendaklah mengaitkan apa yang berlaku ini dengan kebesaran Allah dan keluasan rahmatNya. Sudah tentu ianya adalah satu kurnian daripada Allah kepada hamba-hambaNya yang taat akan perintahNya sebagaimana firmanNya:
" Jika sekiranya penduduk bandar/kampung itu beriman dan bertaqwa nescaya kami akan buka baginya reziki daripada langit dan bumi " Al-A'raaf: 96
Barangkali juga ianya adalah satu peringatan daripada Allah untuk kita sedar dan bertaubat kepadaNya. Tidak mustahil apa yang berlaku ini adalah kesan daripada perubahan cuaca yang begitu ketara berlaku di seluruh pelusuk dunia termasuklah di negara kita hasil daripada kerosakan-kerosakan yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia itu sendiri.
Kedua: Di dalam keseronokan mencari kerang ini; saya ingin berpesan agar pengunjung-pengunjung menjaga batas-batas ugama seperti tidak meninggalkan solat, batas pergaulan lelaki dan perempuan dan juga aurat. Jangan pula rahmat yang datang bergolek ini kita sambut dengan mengundang kemurkaan daripada Allah.
Ketiga: Sekarang ini musim tengkujuh yang sinonim dengan ombak besar dan arus deras. Saya ingin nasihatkan kepada pengunjung-pengunjung supaya berhati-hati dan berwaspada menjaga keselamatan diri, keluarga dan sahabat handai agar kita dapat mengelak daripada berlaku perkara-perkara yang tidak diingini.
03- Akhirnya saya ingin mengajak kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat untuk sama-sama kita mensyukuri ni'mat Allah kepada kita semua. Bersyukur kepadaNya bukan sahaja dengan ucapan di mulut tetapi dengan berusaha untuk melaksanakan segala perintah Allah di dalam kehidupan kita.
Sekian terima kasih.
Muhammad Khalil Abdul Hadi
Ketua Dewan Pemuda PAS Marang
Ketua Dewan Pemuda PAS Marang
( 1 Safar 1436/ 24 Nov 2014 )
No comments:
Post a Comment