Bahagian sayap pesawat MH17, diangkut menggunakan sebuah trak di Donetsk, timur Ukraine, kelmarin. – REUTERS
GRABOVE 23 Nov. – Semua serpihan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine, telah dibawa keluar dari lokasi nahas dan bahagian jet penumpang berkenaan bakal diterbangkan ke Belanda pada masa yang belum ditetapkan.
Lembaga Keselamatan Belanda (OVV) dalam satu kenyataan melaporkan, urusan mengalihkan serpihan MH17 tamat hari ini dan sebahagiannya masih dalam perjalanan ke Kharkiv menggunakan trak.
“Apabila semua serpihan tiba di Kharkiv, urusan untuk dibawa ke Belanda akan diteruskan. Namun tarikh serta jenis pengangkutannya masih belum diputuskan,” jelas badan berkenaan.
Bagaimanapun, jelas OVV ada antara serpihan yang dianggap tidak membantu siasatan dibiarkan sahaja di lokasi nahas dan akan dikutip majlis perbandaran.
Proses mengeluarkan serpihan MH17 dimulakan seminggu lalu di bawah pemantauan Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE) mengambil kira situasi bergolak di timur Ukraine di antara tentera negara ini serta kumpulan pemberontak pro-Rusia.
Tragedi tembakan pesawat MH17 pada 17 Julai lalu, mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal ketika kapal terbang itu dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Sehingga kini, identiti sebanyak 289 penumpang telah dikenal pasti. – AFP
No comments:
Post a Comment